Bekas pengarah urusan Sime Darby Bakke dilantik terajui Felda

Bekas pengarah urusan Sime Darby Bakke dilantik terajui Felda

Ia susulan peletakan jawatan Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai pengerusi Felda atas faktor kesihatan.

Mohd Bakke Salleh bersara daripada Sime Darby Plantation Bhd pada 30 Jun lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengumumkan pelantikan bekas pengarah urusan Sime Darby Plantation Bhd, Mohd Bakke Salleh sebagai pengerusi Felda yang baru selama 2 tahun berkuat kuasa 1 Julai ini hingga 30 Jun 2021.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata Bakke ialah tokoh korporat berintegriti dan berwibawa, dengan pengalaman luas dalam sektor korporat dan industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan untuk meneruskan usaha mengembalikan Felda sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian Felda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakke pernah dilantik sebagai pengarah urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd pada 2009, sebelum menjadi presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd yang kini dikenali sebagai FGV Holdings Bhd.

Pada 30 Jun lalu, Bakke bersara selepas berkhidmat hampir 9 tahun dengan Sime Darby.

Beliau menggantikan Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang akan meninggalkan Felda pada 30 Jun ini kerana masalah kesihatan seperti diumumkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam.

Megat Zaharuddin dilantik sebagai pengerusi Felda pada 27 Julai 2018.

Azmin berkata, Megat Zaharuddin menyumbang idea bernas dan progresif dalam usaha kerajaan membina semula Felda, memastikan kemampanan industri perladangan dan masa depan peneroka terjamin.

“Beliau bersama pengurusan Felda baru berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan kertas putih menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian Felda dan diluluskan Parlimen.

“Saya menghormati hasrat dan menerima keputusan Megat Zaharuddin (berundur).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.