
Najib beritahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau mengetahui perkara itu ketika sedang berkhidmat sebagai perdana menteri, selepas DoJ mengumumkan ia mahu mengemukakan tindakan pelucuthakan sivil pada 2016.
Menurutnya, SPRM belum mengambil keterangannya mengenai 1MDB ketika itu.
“Ia tindakan tidak adil. Mereka (SPRM) sepatutnya rujuk saya dan dengar penjelasan saya,” katanya.
Najib berkata Abu Kassim pernah beri jaminan kepadanya bahawa beliau (Najib) ‘tidak terlibat’.
“Saya tidak minta sebarang pertolongan daripada dia atau (bekas timbalan pendakwa raya) Dzulkifli (Ahmad) kerana saya tidak patut campur tangan dalam siasatan,” katanya.
Tajuk kecil: ‘Bakke sepatutnya jumpa saya’
Beliau berkata bekas pengerusi 1MDB, Bakke Salleh, tidak patut hantar pesanan teks kepadanya jika merasakan keadaan di 1MDB serius.
“Dia sepatutnya beri taklimat kepada saya (secara bersemuka) jika bimbang tentang 1MDB,” katanya.
Sebelum ini, Bakke yang meletak jawatan pada 2009 beritahu mahkamah bahawa beliau memaklumkan kepada Najib melalui SMS bahawa pengurusan 1MDB melanggar arahan lembaga pengarah syarikat. Bakke kata Najib tidak balas mesej itu.
Selepas meninggalkan 1MDB, Najib berkata Bakke dilantik sebagai presiden dan CEO Felda Global Ventures Holdings Bhd.
“Saya mengesyorkan (gelaran) ‘Tan Sri’ untuknya,” katanya sambil menambah Bakke tidak pernah berterima kasih kepadanya.
Najib kemudian mengeluh, mengatakan bahawa semasa menjadi perdana menteri, beliau dipersalahkan atas keputusan Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, bertegas mahu mendakwa Dr Ling Liong Sik berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang.
“Tun (Ling) tidak bercakap dengan saya (selepas itu),” katanya.
Ling dibebaskan daripada tuduhan menipu kerajaan persekutuan pada 2013.
Najib memfailkan saman terhadap Ling pada 2015 berkaitan dakwaan bekas menteri pengangkutan itu bahawa ‘sumbangan’ RM2.6 bilion adalah ‘wang rakyat’ yang ‘diambil’ Najib. Saman itu ditarik balik pada 2018.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana yang didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.