Tiada bukti Najib arah 1MDB meterai perjanjian dengan PetroSaudi melalui telefon

Tiada bukti Najib arah 1MDB meterai perjanjian dengan PetroSaudi melalui telefon

Peguam bela Wan Azman Aiman Wan Fakhruddin berkata tindakan pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB menunjukkan mereka memang berhasrat meneruskan perjanjian itu sebelum panggilan telefon dibuat.

najib
Najib Razak dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pasukan pembelaan Najib Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi Putrajaya yang tiada bukti menunjukkan usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dipengaruhi panggilan telefon antara Najib dan bekas pengerusi 1MDB, Bakke Salleh.

Peguam bela Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berhujah tindakan pengurusan dan lembaga pengarah (BOD) 1MDB sendiri menunjukkan mereka memang berhasrat meneruskan perjanjian itu sebelum panggilan telefon tersebut dibuat, lapor Bernama.

“Ini kerana rekod pada masa itu menunjukkan mereka telah pun mengambil langkah aktif untuk memuktamadkan dan melaksanakan kerjasama dengan PSI — termasuk melantik wakil korporat serta membuka akaun bank bersama,” katanya.

Menurut Wan Azwan, jika benar lembaga pengarah menerima arahan terus daripada perdana menteri ketika itu untuk melaksanakan usaha sama terbabit, mengapa mereka berani mengenakan syarat-syarat tertentu sebelum bersetuju.

Dalam prosiding terdahulu, didedahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), telah menghubungi Najib dan memintanya bercakap dengan Bakke sebelum mesyuarat lembaga 1MDB pada 26 Sept 2009, bagi menjelaskan kononnya konteks kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, Wan Azwan berhujah walaupun Bakke mendakwa perjanjian itu tidak akan diteruskan tanpa panggilan telefon singkat tersebut, notis mesyuarat khas bertarikh 25 Sept 2009 menunjukkan sebaliknya — iaitu mesyuarat itu memang diadakan untuk meluluskan usaha sama dengan PSI.

Ketika ini, pihak pembelaan sedang mengemukakan hujah terhadap pertuduhan pertama Najib di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pertuduhan itu mendakwa dalam satu mesyuarat khas di Hotel Royale Bintang, Damansara, Najib telah mengarah lembaga pengarah 1MDB meluluskan resolusi untuk syarikat itu menyertai usaha sama dengan PSI melalui langganan saham biasa bernilai RM1 bilion pada kadar US$1 sesaham.

Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pada 6 Mei lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil 26 saksi, dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 21 Oktober untuk mendengar hujahan lisan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung semula esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.