Putera Mahkota Arab Saudi bakal lawat Korea Selatan

Putera Mahkota Arab Saudi bakal lawat Korea Selatan

Mohammed bin Salman akan mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Korea untuk membincangkan kerjasama ekonomi dan hubungan 2 hala.

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.
SEOUL:
Presiden Korea Selatan Moon Jae In akan mengadakan sidang kemuncak dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman pada Rabu untuk membincangkan kaedah meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan 2 hala, lapor agensi berita Yonhap.

Lawatan 2 hari Putera Mahkota Arab Saudi ke Korea Selatan itu adalah yang pertama sejak 1998.

Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar Korea Selatan di Timur Tengah dan pengeksport nombor 1 minyak mentah untuk ekonomi terbesar ke-4 di Asia.

Kedua-dua pihak juga akan menumpukan kepada perbincangan mengenai skop kerjasama lain termasuk bidang teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga nuklear dan penjagaan kesihatan.

Presiden Korea Selatan itu juga mahu mendapatkan sokongan Arab Saudi untuk usahanya mewujudkan keamanan di Semenanjung Korea.

Turut dijadual diadakan majlis makan tengah hari dihoskan Moon, dijangka dihadiri konglomerat terkenal termasuk Naib Pengerusi Samsung Electronics Lee Jae Yong dan Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai Motor Chung Euisun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.