
Beliau berkata rancangan mengenakan “caj kesesakan”, yang akan menggantikan bayaran tol, selepas perjanjian konsesi tamat di lebuhraya-lebuhraya yang diambil alih “mengejutkan”.
“Bukankah sepatutnya tiada apa-apa lagi bayaran yang akan dikenakan kepada rakyat selepas tempoh tersebut?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Lim mengumumkan pengambilalihan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Terowong SMART) akan dibiayai penerbitan bon RM6.2 bilion, tanpa memerlukan peruntukan daripada kerajaan.
Menteri berkata apabila perjanjian konsesi tamat, caj kesesakan akan dikurangkan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tanpa unsur keuntungan.
Lim memaklumkan perjanjian konsesi-konsesi berkenaan akan tamat dalam tempoh 9 hingga 23 tahun dan tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan.