PLUS tunggu keputusan kerajaan ambil alih konsesi lebuh raya

PLUS tunggu keputusan kerajaan ambil alih konsesi lebuh raya

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51% saham PLUS manakala baki 49% dimiliki KWSP.

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar negara, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sedia meneliti semula perjanjian konsesi sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengambil alih lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusan Azman Ismail berkata ini sejajar dengan kedudukan PLUS sebagai syarikat konsesi yang memeterai perjanjian dengan kerajaan.

“Jika kerajaan mahu mengubahnya, maka kita akan meneliti mengikut perjanjian terbabit.

“Kita perlu menunggu apa yang kerajaan mahu tawarkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kerjasama PLUS dengan Microsoft hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai kesediaan PLUS terhadap langkah pengambilalihan konsesi oleh kerajaan.

PLUS merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51% saham PLUS manakala baki 49% dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan sebelum ini, Khazanah menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan rundingan terbabit sekiranya kerajaaan bercadang untuk mengambil alih lebuh raya bertol kendalian PLUS.

Khazanah bagaimanapun akan memberi nasihat kepada PLUS dari semasa ke semasa jika wujud sebarang perkembangan berkaitan.

Pada Sabtu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Kementerian Kewangan memberi surat tawaran rasmi kepada 4 syarikat konsesi lebuh raya bertol dengan harga “enterprise value” atau nilai wajar perusahaan sebanyak RM6.2 bilion, yang boleh menjimatkan wang pembayar cukai sebanyak RM5.3 bilion dari segi bayaran pampasan kepada pemegang konsesi terbabit.

Empat lebuh raya itu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.