
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura kerajaan mahu melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“PPSMI itu yang dulu, kita akan buat sesuatu yang baru untuk tingkatkan kualiti pendidikan.
“Kita akan berusaha untuk tingkatkan kualiti pendidikan untuk memastikan anak-anak Malaysia sedia hadapi Revolusi 4.0,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-63 di Wisma DBP, hari ini.
Maszlee berkata kerajaan akan pastikan pelajar sekolah dilengkapi ilmu yang membuatkan mereka kalis masa depan.
“Kita ingin ajak semua pihak bantu tingkatkan penguasaan anak-anak kita terhadap ilmu teknologi semasa dan membolehkan mereka untuk berdaya saing di peringkat global.
“Kita memastikan pendidikan diberikan kepada anak-anak kita berkualiti dan mereka sedia hadapi pasaran global dan cabaran yang begitu hebat pada Revolusi 4.0,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menjelaskan Jemaah Menteri ada membincangkan pelaksanaan semula dasar PPSMI tetapi tiada keputusan dibuat.
Muhyiddin menjelaskan perbincangan tersebut bersifat umum untuk mengambil kira pandangan pelbagai pihak berhubung PPSMI, dan buat masa sekarang, Kementerian Pendidikan diminta untuk mengkaji pelaksanaan semula dasar kontroversi itu.
Terdahulu, kesatuan guru membantah rancangan melaksanakan semula PPSMI, dasar yang dilaksanakan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2003 sehinggalah ia dihentikan pada 2012 berikutan bantahan meluas.
Rasional dasar itu, penguasaan bahasa Inggeris akan memudahkan perolehan ilmu dalam bidang sains dan matematik, tetapi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata ia tidak menyelesaikan masalah asas penguasaan bahasa yang lemah dalam kalangan pelajar.
Presiden Amiruddin Awang sebaliknya menggesa kerajaan mengatasi kebimbangan mengenai kualiti guru dan mengkaji semula sukatan pelajaran dan mata pelajaran bahasa Inggeris.
Dalam perkembangan lain, Mazlee berkata pihak Jabatan Pelajaran Johor sentiasa memantau dengan dekat berhubung situasi pencemaran udara di Pasir Gudang yang melibatkan sekolah berhampiran.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kenyataan semasa,” katanya.
Hari ini dilaporakan, 6 daripada 15 mangsa yang mengalami simptom muntah dan sesak nafas dipercayai akibat terdedah kepada pencemaran udara semalam, masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata 6 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang yang berusia 9 hingga 10 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil.
Petang semalam, 13 murid 7 hingga 12 tahun dan 2 kakitangan Sekolah Agama Taman Mawar serta Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan, selepas mengalami simptom muntah dan sesak nafas akibat terdedah kepada udara yang disyaki tercemar.
Pada 7 Mac lalu, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara dari pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang kemudiannya menyebabkan 111 sekolah ditutup sementara.