
Bercakap kepada media pada majlis pengeksportan sulung durian sejuk beku Malaysia ke China di sini hari ini, Salahuddin berkata, hasil eksport itu dijangka memberi nilaian kepada sumbangan eksport negara kira-kira RM500 juta setahun.
Menurutnya, protokol pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji ditandatangani pada 20 Ogos tahun lepas di Beijing, China.
Lima syarikat diberi kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji (keseluruhan buah) ke China, iaitu Exofruits Industry Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd dan KAMI Food Services Sdn Bhd, katanya.

“Kita harap lebih banyak syarikat dapat kelulusan mengeksport pada masa yang terdekat ini,” katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.
Salahuddin berkata, kementerian yakin jumlah pengeluaran durian di negara ini mencukupi bagi memenuhi pasaran tempatan, pasaran luar negara sedia ada serta pasaran besar China.
Menurutnya, jumlah pengeluaran durian meningkat kepada 341,000 tan metrik pada tahun lepas berbanding 211,000 tan metrik pada 2017, dan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang, khususnya varieti premier seperti Musang King dan Black Thorn.
“Hasil rundingan dengan pihak China sejak beberapa tahun lalu juga membuatkan lebih banyak pembukaan ladang secara komersil, yang meningkatkan jumlah pengeluaran durian,” katanya.
Menurutnya, usaha Malaysia untuk menembusi pasaran China bagi buah durian bermula sejak 2007 dan hasil rundingan antara kedua-dua negara, Malaysia akhirnya berjaya mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes pada Mei 2011.
Nilai eksport pada tahun lepas dalam bentuk ulas dan pes ke China adalah RM9.445 juta atau 235.62 tan metrik.