
PETALING JAYA: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Raub atas tuduhan menceroboh dengan membuka kebun durian Musang King serta membina pondok di tanah milik kerajaan Pahang di Sungai Pertang, tahun lalu.
Yong Lian Kien, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali, lapor Utusan Malaysia.
Wanita itu didakwa menduduki tanah kerajaan di Mukim Gali, Raub tanpa kebenaran pada pukul 11.19 pagi, 9 Ogos tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 Sept ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.