
Beliau memberitahu FMT kertas tersebut diterbitkan tahun lepas di laman web rasmi universiti menggunakan nama 2 penyelia tersebut, tetapi pelajar berkenaan berkata, kecurian itu dilakukan oleh hanya seorang daripada mereka.
Pelajar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Aziz berkata, beliau meminta penjelasan daripada penyelia berkenaan tetapi tidak mendapat respons yang memuaskan.
Beliau kemudiannya membuat aduan kepada pihak pengurusan universiti, tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini, katanya.
Aziz berkata, beliau merupakan pembantu penyelidik di Mimos Berhad apabila berkenalan dengan individu berkenaan sebagai rakan sejawatan.
“Setelah itu saya kembali ke Qatar dan bekerja di sana,” katanya.
“Pada 2015, sewaktu individu tersebut telah menjadi seorang pensyarah di universiti, beliau menasihati saya supaya mendaftar sebagai pelajar PhD di bawah penyeliaannya. Oleh sebab kami pernah bekerja di Mimos, beliau tahu latar belakang dan kemampuan penyelidikan saya,” katanya.
Beliau menerima nasihat itu dan memulakan penyelidikannya. Walaupun secara rasmi beliau mempunyai 2 orang penyelia, individu terbabit menasihatinya supaya mengabaikan penyelia bersama itu dan hanya merujuk kepadanya, kata Aziz lagi.
Aziz menunjukkan kepada FMT satu urutan komunikasi e-mel antara beliau dengan penyelia terbabit berhubung disertasi PhD beliau.
Katanya, beliau kini menunggu perkara itu diselesaikan bagi membolehkannya menyudahkan PhD beliau.
“Saya berharap penerbitan kertas penyelidikan itu ditarik balik,” katanya. “Atau mereka memasukkan nama saya sebagai pengarang pertama.”
FMT telah menghubungi universiti berkenaan dan sedang menunggu jawapan balas.