Rakaman CCTV buktikan bekas penyelia buat gangguan seksual, kata mahkamah

Rakaman CCTV buktikan bekas penyelia buat gangguan seksual, kata mahkamah

Mahkamah Perusahaan menolak tuntutan lelaki itu atas pemecatan terancang dan mengekalkan penurunan pangkat dan pengurangan gajinya.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan mengekalkan keputusan Empire Manufacturing Sdn Bhd untuk menurunkan pangkat pihak yang menuntut, berikutan seriusnya kes salah laku itu selain kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadapnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan memutuskan sebuah syarikat pembuatan minuman berhak menurunkan pangkat bekas penyelianya berikutan siasatan dalaman, selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan dia telah mengganggu rakan sekerja secara seksual.

Siasatan dalaman itu mendapati pihak yang menuntut bersalah merakam gambar pengadu tanpa persetujuannya, menjemputnya untuk menjamu pizza, melanggar garis panduan penjarakan sosial yang dikenakan semasa wabak Covid-19 dan mengeluarkan kenyataan yang tidak senonoh tentang perkahwinan.

Pengerusi Mahkamah, S Vanithamany, berkata pengurusan tindakan Empire Manufacturing Sdn Bhd adalah wajar kerana ia mahu mewujudkan persekitaran selamat untuk pengadu.

“Pihak yang menuntut dilihat dalam rakaman CCTV di mana dia berjalan di belakang pengadu walaupun tiada tanda dia menjemputnya. Dia juga nampaknya gagal mengekalkan jarak minimum dua meter semasa wabak itu.

“Lebih-lebih lagi, pengadu dilihat telah menutup mukanya ketika pihak yang menuntut cuba mengambil ‘wefie’ dengannya. Ini jelas menunjukkan keengganan di pihaknya,” katanya dalam award yang disampaikan lewat tahun lalu.

Panel siasatan dalaman mendapati pihak yang menuntut bersalah dan mengesyorkan dia digantung kerja selama tiga hari, tetapi syarikat itu menurunkan pangkatnya daripada penyelia kepada ketua barisan, memotong gaji bulanannya sebanyak RM300 dan menarik balik elaun telefonnya, dengan menyatakan betapa seriusnya kesalahan salah laku itu.

Syarikat itu berkata syor siasatan itu adalah terlalu ringan dengan mengambil kira dasar gangguan seksual dan prosedur tatatertib sedia ada.

Pihak yang menuntut, yang menyertai syarikat itu pada Mac 2020, membantah hukuman itu dan membuat rayuan pada 4 Sept tahun yang sama. Sehari kemudian dia beritahu rayuannya akan dipertimbangkan.

“Pada 8 Sept 2020, syarikat itu mengadakan mesyuarat semakan dan mengekalkan dapatan dan hukuman sekiranya tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa pengadu telah mereka-reka (aduan),” kata Vanithamany.

Syarikat itu memaklumkan keputusan berkenaan kepadanya dan mengarahkannya melaporkan diri untuk bertugas pada 10 Sept.

Bagaimanapun, pihak yang menuntut enggan dan mengemukakan peletakan jawatannya pada 24 Sept. Syarikat itu menasihatinya untuk mempertimbangkan semula keputusannya, tetapi dia enggan dan sebaliknya memfailkan kes pemecatan terancang.

Pihak yang menuntut berkata beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak melakukan sebarang kesalahan dan hukuman yang dikenakan adalah tidak adil.

Vanithamany menyatakan bahawa pihak yang menuntut telah mengakui bahawa dia mempunyai tabiat mengambil ‘wefie’. Katanya, dia tahu ia tidak sesuai dalam persekitaran kerja dan memohon maaf kerana berbuat demikian.

Beliau juga menolak dakwaan pihak menuntut bahawa tindakan syarikat yang tidak mengendahkan syor siasatan dalaman merupakan pelanggaran kontrak, dan berkata pihak pengurusan berhak menentukan hukuman yang akan dikenakan berdasarkan penemuan panel.

Mahkamah memutuskan bahawa firma itu mempunyai kewajaran sepenuhnya untuk menurunkan pangkat pihak yang menuntut, memandangkan seriusnya salah laku itu dan selain kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.