Lombong di Kuala Koh beroperasi secara haram, kata timbalan menteri

Lombong di Kuala Koh beroperasi secara haram, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Tanah, Sumber Asli dan Air mengesahkan perkara itu berkata lesen pengoperasian lombong itu tamat pada 2017.

Tunku Zulpuri Shah Raja Puji (tengah) dan Presiden Peka, Shariffa Sabrina mendengar taklimat ringkas mengenai bantuan yang boleh diberikan kepada Orang Asli Kampung Kuala Koh sebelum mereka dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. (Gambar PEKA)
PETALING JAYA:
Aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang disahkan beroperasi secara haram.

Timbalan Menteri Tanah, Sumber Asli dan Air Tunku Zulpuri Shah Raja Puji yang mengesahkan perkara berkata lesen pengoperasian lombong itu tamat pada 2017.

“Tapi masih beroperasi,” katanya kepada FMT selepas membuat lawatan kerja di kawasan terbabit selepas lebih 10 orang meninggal dunia didakwa berpunca daripada pencemaran air sungai berdekatan.

Tunku Zulpuri berkata, aktiviti perlombongan di tanah tersebut dibenarkan selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri Kelantan, manakala kerajaan pusat memberi kelulusan dari segi lesen pengoperasian.

Namun, katanya, lesen yang diberikan kerajaan pusat sudah melepasi tempoh tamat.

“Makna kata, mereka ini ada tanah tapi tak boleh operasi sebab kerajaan pusat tak bagi lesen.

“Tapi mereka beroperasi juga,” katanya.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengesahkan angka kematian mengejut di Kampung Koh sudah cecah 14 orang.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati kematian penduduk berpunca daripada sejenis penyakit dikenali sebagai pneumonia.

Mengulas lanjut, Tunku Zulpuri berkata beliau tidak menolak kemungkinan penyakit itu berpunca daripada sisa perlombongan dan racun tanaman hutan yang masuk ke dalam sumber air bersih di sungai berdekatan.

“Mereka pun tinggal di kawasan kelapa sawit. Jadi kita bimbang kalau baja sawit, racun atau hujan masuk macam-macam ke dalam sungai.

“Mungkin hujan lebat, semua sedimen masuk dalam sungai. Lepas itu, airnya jadi sumber minuman (kepada Orang Asli),” katanya.

Tunku Zulpuri berkata pihaknya dan beberapa kementerian iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlu duduk bagi membincangkan perkara itu.

“Pertama, kerajaan pusat kena selesaikan masalah air bersih mereka.

“Kemudian KKM, mungkin kena ada satu pemantauan klinik bergerak kerana mereka banyak yang tak ada pengangkutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.