
Seorang wanita, Yuslaini Azmi yang menghidap penyakit berkenaan sejak 9 tahun lalu, berkata masyarakat sering membuat andaian terhadap pesakit mental tanpa menyelami masalah yang berlaku.
“Apabila bercakap mengenai masalah mental, mereka akan fikir para pesakit ini agresif, akan cederakan orang lain dan cakap merapu-rapu. Saya sedih dan rasa rendah diri.
“Ingin saya tegaskan, penyakit saya tidak menganggu orang. Bagi saya masyarakat tidak membantu. Banyak lagi perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai masalah kesihatan mental,” katanya kepada FMT.
Yuslaini, 29, disahkan menghidap “bipolar disorder type 2” menyebabkan beliau mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang sekeliling, cenderung berfikir perkara negatif sehingga pernah berfikir untuk membunuh diri.
Menceritakan pengalamannya, Yuslaini pernah berdepan situasi menyedihkan apabila beliau dihalau teman serumah selepas mengetahui penyakit yang dialami.
“Saya pernah dihalau rakan serumah November tahun lalu, walaupun sudah mengenalinya selama 2 tahun. Apabila saya dimasukkan ke wad psikatri selama 2 minggu, sikapnya mula berubah.
“Baju saya dikeluarkan dari rumah sewa dan dia pula segera mencari penyewa baru semasa saya dirawat. Saya sudah tegaskan, penyakit saya tidak menganggu orang,” katanya.
Belajar jurusan psikologi

Sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan, Yuslaini yang ketika itu berusia 20 tahun menyedari emosinya tidak stabil dan kerap berubah-ubah, menyebabkan beliau memutuskan untuk mengambil jurusan psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Ya, saya ambil Ijazah Sarjana Muda Psikologi. Saya ambil kursus itu, saya tahu ada yang tidak kena dengan diri saya, namun saya tidak ada pengetahuan dan tidak tahu siapa yang boleh terima,” katanya.
Menurutnya, beliau pernah dimasukkan ke wad psikatri sebanyak 2 kali untuk mendapatkan rawatan dan bersyukur masalah dihadapinya semakin pulih dan dapat diselesaikan dengan cara profesional.
“Pada awalnya saya sendiri tidak boleh terima. Tetapi bila lama-lama, saya cuba bercakap kepada masyarakat dan mendedahkan mengenai penyakit ini,” katanya.
Yuslaini sebelum ini bertugas sebagai pembantu kepada salah seorang ahli majlis perbandaran Selayang dan pernah menjadi penyelidik bagi membantu Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika berkempen pada pilihan raya kecil Port Dickson.
Kini, beliau kembali ke negeri asalnya di Terengganu dan bertugas sebagai kakitangan Malaysia Future Leader School (MFLS) dibawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan.
“Saya maklumkan kepada majikan saya mengenai penyakit ini. Namun saya tidak tahu apa pula katanya. Saya harap dia okay, asalkan saya dapat jalankan tugas dengan cekap.
“Ibu dan bapa saya maklum mengenai sakit yang saya hidapi. Saya syukur ibu dan bapa beri sokongan sepenuhnya kepada saya, ia selepas mereka tahu saya dilayan dengan teruk,” katanya.
Untuk rekod, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29.2% populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental.
Jumlah itu amat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2% berbanding 2006.
Menurut Yuslaini, bagi mengatasi masalah berkenaan, kerajaan bukan hanya perlu menganjurkan forum kesedaran dalam kalangan masyarakat, malah perlu menambah baik infrastruktur dan rawatan.
“Hospital Kuala Lumpur yang merupakan hospital besar di ibu negara juga tidak cukup peralatan dan katil. Apatah lagi jika di Terengganu, Perak atau Sabah dan Sarawak.
“Ada ubat tidak cukup, ada ubat yang kena tunggu seminggu atau 2 minggu baru boleh dapat. Disebabkan itu, saya sangat berharap Kementerian Kesihatan dapat ambil maklum.
“Kadang-kala, apabila hendak buat terapi, kena tunggu, contohnya saya pernah masuk hospital pada November tahun lalu namun saya dipanggil untuk rawatan terapi pada Januari,” katanya.
Beliau menyarankan kerajaan menjalankan lebih banyak forum mengenai kesedaran mental dan terlibat dengan pesakit.
Katanya, sekiranya ada mana-mana ahli keluarga atau rakan disahkan menghidap masalah mental, mereka tidak sewajarnya dipulaukan, tetapi cuba berkomunikasi secara baik.