Isu utama kes tipu haji, umrah adalah kesedaran, kata menteri

Isu utama kes tipu haji, umrah adalah kesedaran, kata menteri

Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan usaha beri penjelasan mengenai kepentingan mendapatkan permit sah sebelum menunaikan ibadat itu.

Kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan polis, TH dan Motac bagi menghalang syarikat yang ingin membawa umat Islam menunaikan haji tanpa permit.
KUALA LUMPUR:
Isu utama dalam kes penipuan haji dan umrah adalah kesedaran masyarakat serta tanggungjawab agensi pelancongan yang menguruskannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, penekanan itu dilakukan kerajaan termasuk memberikan penjelasan kepada umat Islam mengenai kepentingan mendapatkan permit sah sebelum menunaikan haji.

“Saya tak nampak soal umrah itu terletak bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) atau Tabung Haji (TH) menjadi isu utama.

“Kesedaran daripada masyarakat dan sifat tanggungjawab dalam kalangan pengelola agensi pelancongan ini yang kita perlu tekankan,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Na’im menjawab soalan tambahan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung kes penipuan membabitkan 47 jemaah haji yang terkandas baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan jemaah terbabit ditipu dan masuk ke Jeddah secara haram untuk menunaikan haji dengan menggunakan visa pelancong.

Sementara itu, Na’im berkata kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan polis, TH dan Motac bagi menghalang syarikat yang ingin membawa umat Islam menunaikan haji tanpa permit.

Katanya, pihaknya turut membincangkan jalan terbaik terhadap cadangan supaya hal berkaitan umrah diletakkan bawah TH berbanding Motac.

“Sekiranya ada maklumat diterima, kita boleh halang tetapi mengenai isu 47 jemaah itu, kita tidak boleh halang kalau mereka hendak bergerak ke negara lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.