Kes Zara Qairina buka mata, semakin ramai berani lapor kes buli

Kes Zara Qairina buka mata, semakin ramai berani lapor kes buli

Ketua polis Kelantan kata dalam tempoh dua minggu lalu, pihaknya menerima lima laporan berkaitan kes buli di sekolah.

bullying
Ketua polis Kelantan kata tahap kesedaran semakin meningkat dalam kalangan pelajar dan ibu bapa berhubung tindakan wajar apabila berdepan isu buli. (Gambar Envato Elements)
BACHOK:
Kes membabitkan pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, di Sabah menjadi titik tolak kesedaran di Kelantan apabila semakin ramai pelajar dan ibu bapa tampil membuat laporan polis berhubung insiden buli.

Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata dalam tempoh dua minggu lalu, pihaknya menerima lima laporan berkaitan kes buli di sekolah.

Perkembangan itu menunjukkan tahap kesedaran semakin meningkat dalam kalangan pelajar dan ibu bapa berhubung tindakan wajar apabila berdepan isu berkenaan.

“Sebelum ini, orang ramai kurang faham, contohnya dalam kes buli siber, mereka tidak tahu tindakan apa yang perlu dilakukan. Namun, selepas kes Zara Qairina menjadi tular, semakin ramai berani tampil membuat laporan,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Kejohanan Kuda Lasak di Kubang Golok.

Mengulas kes buli enam pelajar Tingkatan 4 terhadap seorang pelajar Tingkatan 3 di Pasir Mas baru-baru ini, Yusoff berkata siasatan sudah selesai sepenuhnya dan kertas siasatan diserahkan kepada pendakwa raya.

Katanya, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

Beliau turut menjelaskan setiap sekolah di Kelantan kini mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang membantu pihak sekolah serta pelajar dalam isu keselamatan dan jenayah.

“Malah, selepas pengisytiharan ‘Jihad Dadah’ dan peningkatan kes rogol bawah umur, semakin banyak sekolah memohon penempatan PPS.

“Di peringkat komuniti pula, kita menempatkan Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) di masjid mukim bagi memperluas jalinan kerjasama dengan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.