
Kajian itu menyebut seorang daripada 5 kanak-kanak lelaki, atau 23 juta orang, berkahwin sebelum berusia 15 tahun.
Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) mendedahkan penemuan kajian mendalam berhubung perkahwinan kanak-kanak lelaki menggunakan data dari 82 negara meliputi kawasan sub-Sahara Afrika, Caribbean, Asia Selatan dan Asia Timur.
“Perkahwinan awal membawa kepada menjadi bapa pada usia masih muda, dan mendatangkan tekanan untuk menyara keluarga, kehilangan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mencantas peluang pekerjaan,” menurut pengarah eksekutif Unicef Henrietta Fore dalam satu kenyataan.
Kajian itu mendapati Republik Afrika Tengah memiliki kadar perkahwinan kanak-kanak lelaki paling tinggi diikuti Nicaragua dan Madagascar.
Angka terkini daripada kajian itu menjadikan jumlah mereka yang berkahwin semasa masih kanak-kanak (lelaki mahupun perempuan) kepada 765 juta orang.
“Kanak-kanak paling berisiko dalam perkahwinan bawah umur ini adalah mereka yang berasal daripada keluarga paling miskin, tinggal di kawasan luar bandar dan memiliki tahap pendidikan rendah atau langsung tidak berpelajaran,” menurut kajian itu.
PBB menganggap perkahwinan sebelum usia 18 tahun satu pelanggaran asas terhadap hak asasi manusia.