Bot mewah terbakar: Seorang rentung, 4 sesak nafas di Langkawi

Bot mewah terbakar: Seorang rentung, 4 sesak nafas di Langkawi

Ketika kejadian 4 lelaki dan seorang wanita Indonesia yang merupakan pekerja berada di dalam bot mewah 2 tingkat di Bukit Malut, Langkawi.

Mangsa yang rentung ditemui pada 7.12 malam tadi oleh Unit K9 dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Seorang lelaki warga Indonesia rentung manakala 4 yang lain mengalami sesak nafas selepas sebuah bot mewah yang berada di kawasan pembaikan bot di Bukit Malut, Langkawi terbakar, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Balai Bomba Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.56 pagi semalam, dan bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika kejadian 4 lelaki dan seorang wanita Indonesia yang merupakan pekerja sedang berada di dalam bot mewah 2 tingkat berkenaan. Apabila sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan ia berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.25 pagi.

“4 mangsa yang mengalami sesak nafas dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut dan operasi mencari seorang lagi mangsa yang hilang dijalankan (sehingga hari ini),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bomba terpaksa menggunakan mesin pengorek bagi membantu mencari mangsa berikutan terdapat banyak timbunan barang di dalam bot berkenaan dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) dibawa ke lokasi.

“Mangsa yang rentung ditemui pada 7.12 malam tadi oleh Unit K9 dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan dan mayat dibawa ke hospital yang sama. Operasi selesai sepenuhnya pukul 8.16 malam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.