
Muhamad Khairul Azhar Mohd Razali, 20, pengawal keselamatan di Masjid Putra, Putrajaya berkata, niatnya mempelajari bahasa asing pada peringkat permulaan hanyalah untuk memudahkan tugasnya mengendalikan keselamatan pelancong yang berkunjung ke masjid berkenaan.
Namun, semakin lama beliau belajar bertutur pelbagai bahasa daripada pemandu pelancong yang membawa pelancong ke Masjid Putra, minatnya mempelajari pelbagai bahasa semakin mendalam sehingga beliau gigih berusaha siang dan malam mempelajari bahasa asing.
“Saya sudah bekerja hampir 3 tahun di sini. Di sini, ramai pelancong datang melawat Masjid Putra, tidak kira dari dalam dan luar negara.
“Memang pada awalnya susah untuk belajar bertutur bahasa asing, tapi saya berterima kasih kepada pemandu pelancong yang datang ke sini. Mereka banyak membimbing saya.
“Setiap pemandu pelancong yang datang ke masjid ini tidak lama. Jadi saya akan minta mereka luangkan sedikit masa ajar saya perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang penting,” katanya kepada FMT.
Pemuda berasal dari Kampung Bukit Kechik, Gunung Bachok, Kelantan itu berkata, setiap patah perkataan dipelajarinya akan dicatatkan dalam buku nota sebagai rujukan dan panduan pada masa akan datang.
Nota itu dikongsi dengan rakan-rakan yang juga berminat belajar bahasa asing.

“Setiap perkataan baru yang saya belajar saya akan tulis dalam buku nota. Dulu saya tidak ada telefon pintar untuk semak dalam ‘Google’.
“Lagi pun, bahasa yang diterjemahkan di aplikasi itu kebanyakannya bahasa baku, bukan bahasa pertuturan harian,” katanya.
Jelasnya, antara 7 bahasa asing yang beliau boleh bertutur dengan agak baik ketika ini bahasa Inggeris, Korea, Jepun, Vietnam, Mandarin, Thai dan Iran.
Khairul juga sedang gigih belajar bahasa Filipina.
“Ramai pelancong dari China, umpamanya, tidak faham jika saya cakap dalam bahasa Inggeris, jadi saya kena belajar bahasa yang mereka semua faham,” katanya.
Beliau belajar bahasa-bahasa asing itu hampir setiap masa, di waktu kerja dan di luar waktu kerja.
“Biasanya, saya bertutur dengan rakan-rakan sekerja supaya saya dapat latih diri betulkan sebutan bahasa-bahasa yang saya pelajari. Memang lebih cepat pandai jika belajar guna kaedah ini,” katanya.

Khairul akui beliau “tidak pandai sangat” ketika di bangku sekolah.
“Entahlah, mungkin belajar di sekolah tidak sesuai untuk diri saya. Saya lebih gemar tumpu kepada mendapatkan pengalaman dan hidup,” katanya.
Menurutnya, kebolehannya bertutur banyak bahasa ini memudahkan kerjanya memberi penerangan kepada pelancong-pelancong yang melawat masjid tersebut, seperti adab semasa berada di masjid dan perkara-perkara yang ingin mereka tahu.
“Ramai pelancong nak tahu had mereka boleh masuk dalam masjid. Di mana boleh pakai kasut, di mana kena buka kasut dan sebagainya,” katanya.
Kebolehannya itu juga membuat pelancong-pelancong rasa selesa dan gembira. Baginya, itu suatu kepuasan.
“Ada kalanya mereka ketawa apabila saya buat lawak sedikit sebanyak dalam bahasa mereka,” katanya.
Katanya, pelancong dari China antara yang ramai mengunjungi masjid tersebut hampir setiap hari.

“Ramai yang teruja bila mendapati rakyat Malaysia boleh bercakap Mandarin,” katanya.
Rakan Khairul, Irfan Hakimi Sukri, 19, yang juga pengawal keselamatan di Masjid Putra, tidak malu mengakui beliau cemburu melihat kawannya pandai bercakap banyak bahasa.
Disebabkan itu, beliau menanam azam belajar bahasa asing sebaik mungkin.
“Saya belajar 3 bahasa setiap hari supaya dapat bersaing dengan Khairul,” kata Irfan, yang berasal dari Ayer Hitam, Kedah.
Kedua-dua mereka ditugaskan mengawal pintu masuk utama Masjid Putra.
Tidak hairan jika Irfan mempunyai kekuatan untuk mempelajari 3 bahasa setiap hari kerana pernah menuntut di maktab tahfiz.
“Saya sudah biasa menghafal. Dulu saya kena hafal 7 baris ayat al-Quran setiap hari. Jadi belajar bahasa asing ini lebih mudah buat saya,” katanya.
Dalam tempoh setahun bekerja di situ, beliau sudah capai azamnya untuk menyaingi rakan yang dicemburinya itu.
Kini, seperti Khairul, Irfan juga pandai bertutur dalam 7 bahasa asing.
“Saya ambil masa 2 jam sehari hafal perkataan asing. Ada kalanya saya rujuk kepada Khairul. Sebelum tidur, biasanya saya akan pasang lagu-lagu asing,” katanya.
Turut belajar bahasa asing ialah Muhammad Asrul Aiman Mohd Asri, 19, juga pengawal Masjis Putra.

Cuma bezanya, beliau lebih memberi tumpuan kepada bahasa Jepun.
Beliau berbuat demikian sebab kagum dengan adab sopan ditunjukkan pelancong-pelancong dari negara matahari terbit itu.
“Bahasa Jepun, pada saya, lebih mudah berbanding dengan bahasa Mandarin. Sebab itu berminat dan lebih tumpu kepada belajar bahasa Jepun.
“Saya tertarik dengan mereka. Adab mereka tidak sama dengan kita. Mereka cakap penuh sopan,” katanya.
Asrul menceritakan lebih mudah beliau berinteraksi dengan pelancong bukan Islam dari luar negara, dalam menjalankan tugasnya.
“Contohnya, saya bagi tahu mereka yang tidak tutup aurat, kalau ingin masuk masjid kena pakai jubah. Mereka patuh, berebut-rebut pakai jubah.
“Orang kita sendiri, kadang-kadang datang dengan pakaian ketat. Apabila kita minta pakai jubah, mereka enggan,” katanya.
Berbeza dengan Khairul dan Irfan, Asrul lebih selesa belajar bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa asing menggunakan media sosial seperti Youtube sebagai medium.
Di samping itu, beliau turut belajar bertutur bahasa Jepun dengan seorang wanita warga Jepun yang dikenalinya semasa wanita itu melawat Masjid Putra pada suatu masa dulu.
Wanita itu, Midori Taguchi, tinggal di Tokyo, Jepun, dan mengajar Asrul Aiman serta rakan-rakannya yang berminat belajar bahasa Jepun melalui panggilan video.