Layanan ‘2 darjat’, Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

Layanan ‘2 darjat’, Imam Besar Masjid Putra mohon maaf

Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat yang tular di media sosial.

Ikmal Zaidi Hashim berkata, beliau memohon maaf berikutan reaksinya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan “dua darjat” bagi solat Jumaat di masjid berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra malam tadi, Ikmal berkata, susulan kejadian itu pihaknya akan memperbaiki keadaan terutama membabitkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) mereka.

“Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat atas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.

“Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya.

Isu terbabit timbul selepas seorang warganet berkongsi rakaman video yang mempertikaikan tindakan pihak Masjid Putra kerana membenarkan individu tertentu masuk menunaikan solat Jumaat ketika orang lain tidak dibenarkan masuk.

Video itu kemudian tular di media sosial yang kemudiannya menerima reaksi pelbagai daripada warganet.

Ikmal tampil menjelaskan keadaan sebenar dengan menyatakan beliau tidak redha dengan perbuatan individu yang menyebarkan video terbabit dan menggesanya memohon maaf kepada pengurusan masjid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.