
Mereka tidak tahu akan menjadi terkenal di seluruh dunia suatu hari nanti.
Nasyid ialah lagu Islam diiringi alunan muzik yang membawa mesej daripada al-Quran, ajaran dan sejarah Islam. Secara tradisinya, alat muzik moden lain tidak muncul dalam nasyid.
Ketika bersiap sedia untuk melakukan persembahan di sebuah restoran di Kuala Lumpur bulan lalu, seorang daripada ahli Raihan, Che Amran memberitahu FMT, idea mempopularkan sebuah kumpulan nasyid oleh salah sebuah syarikat rakaman terbesar di dunia tidak kedengaran dahulu.
Individu yang menjalankan uji bakat pada hari itu ialah eksekutif Warner Music, Tony Fernandes yang kemudiannya mengasaskan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.
Mereka menyanyikan lagu asal “Assolatu Wassalam” dan menunggu keputusannya dengan penuh debaran.
“Tony menjerit ‘Ini yang saya mahukan’,” kata Che Amran yang masih ingat keadaan ketika itu.
Warner Music segera mengikat kontrak dengan kumpulan 5 lelaki itu.
Kumpulan itu dinamakan Raihan, bahasa Arab bagi haruman dari syurga. Mereka kemudiannya memulakan perjalanan untuk menjadi wakil nasyid kontemporari.
Lima ahlinya, Azhari Ahmad, Nazrey Johani, Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim bagaimanapun tidak bersedia untuk menjadi bintang terkenal.
Album pertama mereka berjudul “Puji-Pujian” memukau rakyat Malaysia pada Oktober 1996 dan masih menjadi album paling laris oleh mana-mana artis tempatan.
Secara tradisinya, nasyid mempunyai pengaruh kuat Timur Tengah, daripada alat muzik kepada melodinya.
“Kami lakukan dengan melodi pop dan rock, yang membawa kelainan tetapi masih dengan mesej al-Quran,” kata Che Amran yang lebih dikenali sebagai Che Am.
Katanya, tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka akan menjadi terkenal dalam jangka pendek.
“Kami hanya sebuah kumpulan nasyid tempatan yang membuat persembahan di majlis kecil. Tiba-tiba kami mempunyai syarikat antarabangsa besar sebagai sumber kami.”
Jelajah konsert menyusuli kejayaan “Puji-Pujian” dan mereka mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak Komanwel 1997 di Edinburgh, Scotland.

“BBC menyiarkan kami membuat persembahan di depan pemimpin Komanwel, termasuk Ratu Elizabeth. Itu caranya dunia Islam lain mula mengenali kami.
“Kami menemui Putera Charles dan beliau bergurau ingin melihat kerjasama antara kami dan kumpulan penyanyi wanita terkenal ketika itu, Spice Girls.”
Sudah tentu kerjasama itu tidak berlaku. Tetapi, Raihan pernah bekerjasama dengan beberapa artis antarabangsa termasuk Yusuf Islam (bekas bintang pop British Cat Stevens) melalui lagu “God is the Light” dan juga artis Indonesia seperti Sheila on 7 serta Kris Dayanti.
Raihan pernah menjelajah setiap benua, kecuali Antartika dan memberi inspirasi kepada kumpulan nasyid lain.
“Selepas kami ke Afrika Selatan, kumpulan bergelar Raihan 2 dan Raihan Girl muncul di sana,” kata Che Amran.
Jualan album Raihan kini mencecah 3.5 juta di seluruh dunia dan mendapat pelbagai anugerah.
Universiti Georgetown di Washington menyenaraikan mereka antara 500 umat Islam paling berpengaruh dalam seni dan budaya.
Tahun ini, Raihan berbaki 3 ahli, selepas pemergian Azhari pada 2001 dan Nazrey yang memulakan kerja dakwah pada 2015.
Bagaimanapun, Raihan masih meneruskan persembahan mereka.
“Walaupun album terakhir kami dikeluarkan pada 2010, kami bekerjasama dengan Aliff Satar baru-baru ini. Beliau membesar dengan lagu kami dan menjadi peminat kami.
“Kami merakamkan versi baru lagu kami ‘Sesungguhnya’ untuk generasi baru dan kembali popular dengan lebih 4 juta tontonan dalam seminggu.”
Bagi penyanyi bercita-cita tinggi, YouTube turut mempunyai versi karaoke yang digunakan pelanggan di restoran untuk berlatih dan bernyanyi bersama kumpulan berkenaan.
Che Am, Abu Bakar dan Amran bagaimanapun tidak kelihatan berusia dan masih mempunyai ramai peminat yang sanggup beratur untuk bergambar dengan mereka.
Mereka menghargai semua kejayaan dikecapi, tetapi pencapaian paling membanggakan mereka ialah berjaya mencetuskan perkembangan nasyid kontemporari di seluruh dunia.
Jutaan peminat di seluruh dunia terpukau dengan nyanyian merdu dan menenangkan dengan iringan pukulan gendang serta rebana yang lembut, dan kadangkala seruling serta gitar akustik.
“Kami gembira mempunyai ramai peminat di seluruh dunia, termasuk bukan Islam.
“Ia membuatkan kami bangga kerana artis tidak lagi malu untuk menyanyikan pujian kepada Allah.”