
Berita pemergian Suhaimi, 43, itu dikongsikan anggota In-Team, Hazamin di Instagram miliknya.
“Sahabat kami, Suhaimi Saad telah kembali ke penciptanya jam 7.40 malam tadi. Mohon semua mendoakan almarhum dan sedekahkan bacaan Al-Fatihah.
“Semoga Allah mengampuninya dan mengumpulkan rohnya bersama para solihin,” katanya.
Suhaimi yang juga suami kepada penyanyi Ina Naim sebelum ini dilaporkan terpaksa ditidurkan dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan selepas dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu.
Menurut Harian Metro, Suhaimi dikatakan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru sebelum merebak hingga menyebabkan kegagalan fungsi organ.
Suhaimi sebelum ini dilaporkan mengalami batuk kronik sejak empat bulan lalu dan cirit-birit selama tiga bulan sehingga berat badannya turun mendadak.
Pasangan berkenaan yang berkahwin pada Ogos 2007 dikurniakan empat cahaya mata.