
Majistret, Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Danial Abdullah Tan, 31, yang memakai kemeja-T kuning dan berseluar jeans biru, mengaku bersalah terhadap perbuatannya.
Tertuduh turut sebak selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap semalam.
Danial didakwa melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada cermin depan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58, dengan menghentak cermin itu menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, dekat sini, pada 5.30 petang 28 Mei lalu.
Dia dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam, Nur Rafiuddin Maswari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah hanya mengenakan denda ke atas anak guamnya atas alasan ia kesalahan pertama tertuduh dan dia juga perlu menanggung isteri serta 2 anak berumur setahun dan 3 tahun.
“Kesalahan anak guam saya bukan dirancang, tetapi secara spontan dan anak guam saya telah ditularkan nama sebenarnya, nombor kad pengenalan, muka, alamat tempat kerja dan rumah di media sosial menyebabkan dia dikecam masyarakat,” katanya sambil menambah tertuduh kesal dengan perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tindakan tertuduh sudah menyusahkan mangsa.
“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM600 selepas cermin depan keretanya pecah dan tertuduh yang berumur 31 tahun sepatutnya tahu membezakan baik dan buruk.
“Mahkamah juga kena tegas dalam menjatuhkan hukuman berat kerana kejadian ‘road bully’ kerap berlaku di Malaysia dan hukuman yang dijatuhkan untuk beri pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak melakukan kesalahan sama.”
Nurshahira kemudian bertanya Danial apa yang menyebabkan tertuduh melakukan perbuatan itu. Tertuduh berkata, dia bertindak demikian selepas motosikalnya dihimpit dan hampir dilanggar kereta mangsa.
Danial: Sebab itu saya himpit kereta dia (mangsa) untuk berbicara, tapi dia tunjuk jari pada saya. Tindakannya itu menyebabkan saya terus bertindak bodoh dengan menghentak cermin keretanya.
Nurshahira: Apapun “you” kena sedar trauma yang dihadapi mangsa, tambahan pula di bulan puasa kamu lakukan perkara ini. Kamu patut berfikir panjang dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.
Difahamkan, perbuatan lelaki itu dirakam mangsa menggunakan kamera “dashcam” dan rakaman itu tersebar di media sosial sejak Rabu lalu.