Exco P Pinang serah nama 5 doktor ‘pembuli’ kepada KKM

Exco P Pinang serah nama 5 doktor ‘pembuli’ kepada KKM

Norlela Ariffin berkata, nama lima doktor itu diserahkan kerana mereka didakwa 'paling toksik'.

Norlela Ariffin berkata, lima doktor itu tiada kaitan dengan kes seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang yang maut akibat terjatuh dari pangsapuri di Jalan Datuk Keramat bulan lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Nama lima doktor yang didakwa “pembuli” di Hospital Pulau Pinang (HPP) diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut, kata Exco Kesihatan negeri, Norlela Ariffin.

Bagaimanapun katanya, lima doktor itu tiada kaitan dengan kes seorang doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh dari pangsapuri di Jalan Datuk Keramat bulan lalu.

“Saya telah menghantar nama lima doktor yang didakwa sebagai pembuli di HPP untuk diperiksa oleh menteri dan YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin telah menjawabnya.

“Nama yang dikemukakan ini bukan berkaitan dengan kes kematian doktor pelatih kerana kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya menurut laporan Kosmo.

Beliau berkata, nama lima doktor itu diserahkan kerana mereka didakwa “paling toksik”.

“Saya serahkan nama doktor tersebut setelah membaca bahawa exco kesihatan Negeri Sembilan turut melakukan perkara ini dengan menyerahkan dua nama kepada menteri kesihatan.”

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, sebuah pasukan bertindak bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian terbaharu itu dan dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital.

Dalam laporan berasingan, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, waris doktor pelatih lelaki di HPP yang meninggal dunia itu akan memberi keterangan hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kehadiran ahli keluarga doktor pelatih berusia 25 tahun dari Kuala Lumpur itu semalam.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk membabitkan elemen jenayah mahupun masalah peribadi doktor muda dari sebuah universiti swasta di Cheras itu.

“Mereka (waris) sampai baru tahu (siapa yang akan beri keterangan sama ada ibu, bapa atau abang si mati),” katanya menurut laporan Utusan Malaysia selain menambah bahawa polis masih menunggu laporan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia kematian doktor pelatih itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.