
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, HelpDoc dilancarkan pada 2017 untuk memberi bantuan kepada pengamal perubatan dalam melaporkan kes buli tanpa rasa bimbang dan takut dicela.
Ia juga menyedari hakikat bahawa kes buli mungkin tidak pernah dilaporkan kerana pengadu khuatir dikenakan hukuman selanjutnya.
“HelpDoc diwujudkan untuk doktor yang menghadapi masalah di tempat kerja dan mereka tidak perlu takut kerana sebarang laporan dibuat di luar talian dan kami akan melakukan susulan dengan doktor terbabit untuk menyelesaikan kes itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Sementara itu Koh mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah membuat penilaian terhadap “pembuli” kerana sesuatu kejadian yang berlaku ada penyebabnya.
Katanya, sumber tekanan seperti kata-kata kasar, junior yang berulang kali melakukan kesilapan atau berpotensi menyebabkan kemudaratan kepada pesakit, mungkin antara faktor penyumbang kepada perbuatan “buli” yang berlaku.
Beliau mengulangi bahawa bekerja dalam bidang perubatan perlu berdepan banyak tekanan. Justeru bantuan ada disediakan di pelbagai hospital melalui unit khusus yang menawarkan khidmat kaunselor profesional dan pakar psikiatri.
“Kita juga mempunyai Unit Pengurusan Tekanan untuk doktor di hospital yang mempunyai kaunselor dan pakar psikiatri. Mereka boleh pergi dapatkan bantuan sekiranya mempunyai masalah.
“Unit-unit ini menyediakan khidmat secara berkala dan mereka boleh mendapatkan khidmat kaunselor sendiri, jika mereka rasa tertekan.”
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan perlu meneliti semua faktor penyumbang dalam menangani isu yang dihadapi doktor muda ketika menjalani “housemanship” dan juga kebajikan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam.