
Profesor ekonomi di Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, mata wang bersandarkan emas boleh menyekat perdagangan mata wang serta menghalang bank antarabangsa daripada mencipta wang tanpa kawalan.
Perdagangan mata wang yang berlebihan katanya, mengakibatkan kadar pertukaran tidak stabil, sementara penciptaan wang secara berlebihan membawa kepada inflasi dan paras hutang yang tinggi.
“Apabila mata wang disandarkan pada emas, maka anda perlu memastikan penciptaan wang atau pinjaman tidak melebihi nilai emas yang dimiliki,” katanya kepada FMT.
Katanya, bank mungkin membantah idea itu kerana ia akan mengurangkan pertumbuhan dan keuntungan mereka.
Ketika membuat cadangan itu semalam, perdana menteri mengeluh mengenai perdagangan mata wang kini yang bersifat manipulatif.
Beliau juga berkata, emas boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara Asia Timur.
Felo di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Carmelo Ferlito berkata, penetapan standard emas merupakan satu-satunya cara bagi memulihkan kepercayaan kepada kerajaan kerana ia akan mengehadkan kuasanya untuk mencipta wang.
“Ia juga akan mengembalikan akauntibiliti awam terhadap dasar kewangan,” katanya.
Beliau berkata, mata wang yang stabil baik untuk perniagaan, walaupun komuniti perniagaan yang menyokong “devaluasi kompetitif” mungkin tidak menyukainya pada peringkat awal.
“Tetapi devaluasi sedemikian hanya menguntungkan perniagaan dalam tempoh yang sangat pendek,” katanya kepada FMT.
Beliau bersetuju dengan Nazari bahawa mata wang yang disandarkan pada emas akan menjadi lebih kukuh dan lebih stabil berbanding mata wang konvensional, namun mengingatkan ia mesti diuruskan dengan baik.
“Apa-apa juga yang boleh mewujudkan persekitaran yang stabil akan membantu pelaburan asing langsung,” katanya.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, mata wang bersandarkan emas jelas merupakan “satu kelebihan besar” kerana negara perlukan ringgit disokong dengan aset yang stabil.
Katanya, banyak negara Islam lebih berminat dengan sistem itu berbanding mata wang konvensional, tetapi ia gagal terlaksana kerana pergantungan dunia antarabangsa pada mata wang dolar Amerika Syarikat.
“Kita perlu mendapatkan sokongan daripada negara di Timur Tegah dan negara Islam lain,” katanya, selain mencadangkan supaya Malaysia mengepalai inisiatif untuk memperkenalkan mata wang dinar yang disandarkan pada emas sebagai “crypto token” yang boleh didapati di seluruh dunia.
“Tetapi di mana kita mahu dapatkan stok emas yang mencukupi untuk disimpan sebagai rizab?” katanya dan menambah dinar yang disandarkan pada emas akan meningkatkan harga logam itu.
Emas pernah digunakan untuk menyokong mata wang fiat. Ia juga digunakan sebagai mata wang rizab dunia pada hampir keseluruhan abad ke-20. AS menggunakan standard emas sehingga Presiden Nixon menghentikannya pada 1971.