Kerajaan tarik balik larangan perjalanan terhadap bekas peguam negara

Kerajaan tarik balik larangan perjalanan terhadap bekas peguam negara

Jabatan Imigresen memaklumkan keputusan itu dalam surat bertarikh 8 Mei.

Bekas peguam negara Apandi Ali. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas peguam negara Apandi Ali menarik balik cabaran undang-undangnya terhadap keputusan kerajaan melarangnya membuat perjalanan ke luar negara, awal bulan ini.

Peguamnya M Visvanathan berkata Jabatan Imigresen memaklumkan keputusan itu dalam surat bertarikh 8 Mei.

“Tiada apa-apa untuk menghalangnya ke luar negara sekarang.

“Bagi pihak Tan Sri, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan atas keputusan ini dan memastikan hak individu untuk ke luar negara terjamin,” katanya di luar Mahkamah Tinggi, hari ini.

Visvanathan menambah peguam persekutuan yang mewakili kerajaan, Istisyhad Ismail mengesahkan perkara itu kepada hakim Mariana Yahya.

“Selepas menerima surat, dia (Apandi) pergi ke Jabatan Imigresen sehari kemudian untuk memohon pasport supaya dia boleh pergi ke UK untuk menghadiri majlis penerimaan masuk anak tirinya ke Majlis Peguam England,” tambahnya.

Apandi memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan kerajaan yang menafikan permohonannya untuk mendapatkan pasport dan menghalangnya meninggalkan negara.

Beliau mendakwa larangan itu tidak berperlembagaan kerana beliau tidak diberi hak untuk mendengar sebelum membuat keputusan untuk melarangnya.

Katanya, beliau dimaklumkan secara lisan pada 22 Februari mengenai sekatan itu ketika beliau ingin memohon untuk mendapatkan pasport di Pejabat Imigresen Jalan Dutamas.

Dalam afidavit untuk semakan kehakimannya, beliau berkata: “Sehingga hari ini saya tidak didakwa atas sebarang kesalahan jenayah atau menghadapi sebarang tindakan sivil”.

Beliau menambah, beliau tidak melarikan diri dari Malaysia.

Apandi, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mahukan satu deklarasi bahawa sekatan yang dikenakan terhadapnya melanggar hak asasinya di bawah Perkara 5(1), 8 dan 9 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga meminta pengisytiharan Jabatan Imigresen dan kerajaan bertindak di luar kuasa mereka.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai budi bicara yang tidak terkawal dalam mengenakan sekatan yang boleh dipersoalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.