Jangan bergantung pada pemimpin etnik ketuai perjuangan, Hindraf beritahu orang India

Jangan bergantung pada pemimpin etnik ketuai perjuangan, Hindraf beritahu orang India

Kerajaan PH perlu melihat ke arah memperkasakan kaum India terpinggir mengenai konsep politik berasaskan keperluan seperti membasmi kemiskinan dan menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik.

Bekas pemimpin Hindraf, R Kengadharan.
PETALING JAYA:
Masyarakat India tidak perlu lagi bergantung kepada ahli Parlimen dan menteri daripada etnik mereka untuk memajukan kepentingan politik dan ekonomi di era Malaysia baru, kata pemimpin Hindraf.

R Kengadharan berkata kerajaan hari ini perlu melihat ke arah memperkasakan kaum India terpinggir mengenai konsep politik berasaskan keperluan seperti membasmi kemiskinan dan menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik.

“Kerajaan melalui ahli Parlimen dan menteri boleh menyusun program dan melaksanakan dasar bagi masyarakat India yang miskin. Ia tidak perlu bergantung pada parti politik dan pemimpin berasaskan kaum untuk mendapatkan maklum balas,” katanya.

Kengadharan berkata demikian sebagai maklum balas kepada gesaan pemimpin Hindraf 2.0, P Uthayakumar supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mewujudkan 7 kerusi Parlimen majoriti India untuk memastikan masyarakat itu mempunyai suara yang kuat di Parlimen.

Kengadharan adalah salah seorang daripada 5 pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2007 kerana mengadakan perhimpunan untuk membantah dasar diskriminasi di bawah kerajaan Barisan Nasional yang memberi kelebihan kepada etnik Melayu.

Pada perhimpunan yang dianjurkan kumpulan itu semalam, Uthayakumar, yang juga salah seorang bekas tahanan ISA berkata mereka tidak berpuas hati dengan dasar “perkauman dan supremasi” yang memberi kesan kepada kaum India sejak 62 tahun lalu diteruskan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Hindraf 2.0 adalah organisasi yang berbeza daripada Hindraf, yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Uthayakumar berkata masalahnya adalah masyarakat India tidak mempunyai suara yang kuat di Parlimen dan ahli Parlimen PH India tidak mempunyai “kuasa sebenar” kerana pemilihan mereka bergantung kepada undi orang Melayu dan Cina.

Kengadharan berkata, mewujudkan kawasan pilihan raya untuk golongan terpinggir boleh dilaksanakan hanya di India kerana perlembagaan mereka menyediakannya.

“Di Malaysia, kita perlu bekerjasama dengan kerangka politik yang mantap. Sejak 1952, Umno berkongsi kuasa dengan MIC dan MCA tetapi ia kemudiannya menjadi hubungan tuan dan pengikut,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, terdapat “gelombang momentum politik” yang mencadangkan kerajaan PH sensitif terhadap keperluan rakyat.

“Berikan mereka lebih banyak masa kerana mereka hanya menggantikan kerajaan yang berkuasa secara berterusan selama lebih 60 tahun,” katanya.

Kengadahran berkata kaum India juga harus mencari jalan untuk menghapuskan parti berasaskan kaum untuk memperjuangkan komuniti masing-masing.

“Di PH, orang Cina dan India bergantung kepada parti berbilang kaum, PKR dan DAP. Hari itu juga boleh datang apabila orang Melayu dan Bumiputera tidak lagi bergantung kepada pemimpin etnik mereka untuk mengetuai perjungan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.