Sayap bersekutu Bersatu kecewa PN terima MIPP, kata sumber

Sayap bersekutu Bersatu kecewa PN terima MIPP, kata sumber

Seorang pemimpin sayap bersekutu berkata kemasukan parti baharu India dalam gabungan pembangkang itu 'sekadar satu latihan penjenamaan'.

Perikatan Nasional tidak boleh berharap untuk meraih undi bukan Melayu dengan hanya ‘mempromosikan wajah bukan Melayu’, kata seorang pemimpin sayap bersekutu Bersatu susulan kemasukan MIPP dalam PN.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin sayap bersekutu Bersatu mendedahkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahlinya selepas Perikatan Nasional (PN) menerima Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sebagai parti komponen terbaharunya pada Isnin lalu.

Mempertikaikan kenyataan Presiden MIPP, P Punithan bahawa kemasukan parti itu mencerminkan komitmen PN untuk membela komuniti India, seorang pemimpin sayap bersekutu Bersatu memberitahu FMT, kemasukan parti komponen baharu itu “sekadar satu latihan penjenamaan”.

“Secara keseluruhan, sayap bersekutu kecewa dengan perkara ini, terutama pemimpin India. Kami langsung tidak dibawa berbincang mengenainya,” kata sumber kepada FMT.

“Justifikasi menerima parti berasaskan India kerana PN memerlukan ‘wajah India’ tidak masuk akal sama sekali dan akan menjejaskan sayap bersekutu secara langsung.”

Katanya, PN tidak boleh mengharapkan untuk mendapat sokongan bukan Melayu dengan “mempromosikan wajah bukan Melayu”.

PN sepatutnya berusaha mengembangkan pangkalan pengundi dengan menangani isu-isu asas yang menjejaskan pembangunan ekonomi komuniti India dan memastikan peluang sama rata serta kesamarataan sosial, kata sumber.

Menurutnya, PN harus mengambil langkah untuk mengukuhkan sayap bersekutu Bersatu, jika gabungan itu serius dalam memenangi sokongan orang India.

“Ahli India sayap tersebut semakin bertambah dan ia perlahan-lahan menjadi bank undi India yang kuat, berkat pengurusan kepimpinan sayap itu yang cekap.

“Memperkasakan sayap bersekutu adalah penyelesaian lebih praktikal. Lebih-lebih lagi, sayap itu semakin kuat dari hari ke hari – walaupun perlahan.”

Sayap bersekutu itu ditubuhkan pada November 2020 bagi menarik sokongan bukan Melayu buat parti pimpinan Muhyiddin Yassin dan PN.

MIPP menerima surat keahlian dari Pengerusi PN, Muhyiddin sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Isnin lalu.

Punithan yang dilantik timbalan pengerusi PN dalam kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pemimpin PN atas sokongan mereka dan berjanji parti itu akan memperjuangkan pembangunan komuniti India.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Maju Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.