
Bercakap pada Sambutan Hari Kelahiran ke-133 Dr B.R. Ambedkar Jayanthi, Anwar menjelaskan sokongan kepada masyarakat itu melangkaui Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).
“Penyelesaian kepada masalah orang India bukan sahaja melalui Mitra. Selain Mitra, kita juga ada Tekun, yang mana kita peruntuk RM30 juta hanya untuk orang India (usahawan kecil).
“Ada juga Amanah Ikhtiar, yang mana saya tubuhkan berdekad lalu untuk membantu orang miskin Melayu. Dan pada 2024, kita peruntuk RM50 juta khusus untuk keluarga orang India,” katanya dalam ucapan.
Anwar berkata, masyarakat India di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan paling banyak menerima bantuan mengikut kadar penduduk masyarakat itu.
“Keutamaan saya sentiasa ingin menoktahkan kemiskinan dan untuk demikian, saya tidak lihat anda dari kaum mana,” katanya.
Bulan lalu, seorang senator menggesa Anwar menunjukkan komitmen meningkatkan taraf sosioekonomi orang India dengan memperuntuk 2,500 bagi kemasukan ke matrikulasi khusus kepada masyarakat berkenaan.
C Sivaraj berkata, Anwar tidak sepatutnya gusar kehilangan sokongan orang Melayu kerana umum mengetahui masyarakat India jauh ketinggalan dan memerlukan bantuan seperti itu.