Mesin ATM diletupkan dalam cubaan rompak di Bangi

Mesin ATM diletupkan dalam cubaan rompak di Bangi

2 suspek lelaki menaiki kereta cuba memecahkan mesin ATM dengan bahan letupan tetapi gagal melarikan mesin wang itu selepas 2 kali meletupkannya.

2 suspek lelaki meletupkan mesin ATM di Wisma Unikeb, Bangi dalam cubaan merompak, malam tadi. (Gambar Facebook)
BANGI:
Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Wisma Unikeb diletupkan, dipercayai dilakukan 2 lelaki bertopeng yang cuba menyamun wang daripada mesin itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai 2 lelaki yang datang menaiki kereta cuba memecahkan mesin ATM dengan bahan letupan namun kami masih mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata bagaimanapun suspek gagal melarikan peti wang mesin ATM itu selepas 2 kali cuba melakukan letupan pada jam 7.53 malam.

Sehubungan itu, polis sedang mengesan suspek bertopeng yang dipercayai meletupkan mesin ATM itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Siasatan turut dijalankan unit pemusnah bom, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.