Azmin yakin Malaysia baru jamin ‘kemakmuran bersama’

Azmin yakin Malaysia baru jamin ‘kemakmuran bersama’

Perdana menteri dalam perutusan sempena setahun pentadbiran PH berkata, pembangunan negara hari ini bermaksud memberi kemakmuran bersama kepada semua rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
PUTRAJAYA:
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali yakin pendekatan Malaysia baru dapat menjamin “kemakmuran bersama” pada masa akan datang.

“Setahun lalu kita bercakap mengenai kerajaan baru, tetapi perdana menteri hari ini secara tegas berkata, maksud Malaysia baru itu adalah sebuah negara berteraskan prinsip akauntabiliti, integriti dan peduli rakyat.

“Kita yakin pentadbiran baru akan pulihkan balik negara untuk bangkit sebagai Harimau Asia,” katanya selepas penyampaian perutusan perdana Dr Mahathir Mohamad sempena setahun Malaysia baru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sebelum itu, perdana menteri dalam perutusannya berkata, pembangunan negara pada hari ini bermaksud memberi kemakmuran bersama kepada semua rakyat.

Katanya, ini boleh dicapai dengan cara meningkatkan kuasa beli rakyat, menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan yang melampau antara kelas, kaum dan wilayah serta rantaian nilai.

Dr Mahathir berkata, pembangunan dan kekayaan negara harus diagihkan dengan lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.

Kemakmuran bersama menurut beliau adalah usaha menjadikan Malaysia sebuah negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi”.

Usaha ini akan dijalankan sehingga wujudnya rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

Azmin berkata, mengenai prestasi kerajaan, beliau percaya barisan menteri seharusnya diberikan peluang untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Perdana menteri berikan nasihat dan menteri mestilah bekerjasama secara berpasukan, selain bekerjasama dengan penjawat awam.

“Tolak rasuah dan tidak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa untuk jamin masa depan lebih cemerlang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.