Dunia iktiraf kerajaan PN tangani krisis Covid-19, dakwa Azmin

Dunia iktiraf kerajaan PN tangani krisis Covid-19, dakwa Azmin

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata rakyat Johor khususnya mereka akan mengundi pada PRN Johor perlu melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan PN sewaktu negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Azmin Ali berkata, rakyat Johor khususnya pengundi pada pilihan raya negeri akan datang, perlu melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan PN sewaktu negara berdepan dengan pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Antara kejayaan luar biasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah mendapat pengiktirafan dunia sebagai sebuah kerajaan terbaik dalam menjalankan usaha pemulihan Covid-19, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali.

“Lihatlah rekod PN (walaupun) dalam tempoh begitu singkat, negara hadapi krisis kesihatan, krisis ekonomi namun kepimpinan Muhyiddin Yassin dan PN berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini, malah diiktiraf masyarakat dunia dengan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei meletakkan Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada tahun sebelumnya.

“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Data tidak menipu. Ini kebaikan untuk industri di Johor. Kenapa kita tidak boleh terima? Kalau tidak suka janganlah sampai nak dipadamkan kejayaan dan fakta-fakta itu. Kita perlu teruskan kejayaan ini dan saya serahkan kepada rakyat buat keputusan dalam PRN Johor,” katanya, menurut laporan Bernama.

Katanya, rakyat Johor khususnya pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang perlu melihat rekod pencapaian pentadbiran kerajaan PN itu sewaktu negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Industri Kecil Sederhana (IKS) dari kawasan Tangkak, Pagoh dan Muar, di Tangkak, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan PN menghadapi PRN Johor memandangkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP masing-masing sudah mula mengumumkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya itu, selain Barisan Nasional (BN) melancarkan jentera di beberapa zon.

Semalam, kes Covid-19 meningkat hampir dua kali ganda sepanjang minggu lalu, daripada 5,566 kes pada 1 Feb kepada 10,089.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, jangkitan Covid-19 dijangka mencecah sehingga 15,000 kes tidak lama lagi susulan negara kini berdepan gelombang varian Omicron.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.