
Dalam satu wawancara Bicara Khas di TV1, sempena setahun Pakatan Harapan membentuk kerajaan, Mahathir ditanya pengacara tentang rungutan orang ramai dengan janji-janji pilihan raya yang tidak ditunaikan gabungan pemerintah.
Beliau menjelaskan apabila mereka menjadi pemerintah barulah mereka sedar “betapa buruknya” keadan yang ditinggalkan pentadbiran lepas.
“Gambaran tepat: bukan tak penuhi janji, tapi tak boleh penuhi janji,” katanya malam tadi.
Beliau memberikan beberapa sebab yang menyebabkan mereka tidak boleh menenuhi janji itu, seperti keadaan kewangan yang amat kurang, jentera kerajaan yang perlu dipulihkan dan dibersihkan, dan kekurangan pengalaman para menterinya.
“Mereka tak pernah jadi kerajaan jadi mereka tidak dapat buat keputusan dengan lebih cepat dan tepat, menghalang pelaksanaan janji-janji kita,” katanya.
Atas sebab itu juga beliau menolak cadangan rombakan Kabinet, agar para menterinya boleh menimba pengalaman.
“Jika Kabinet menggantikan mereka dengan orang lain yang tiada pengalaman, kita terpaksa bermula dari awal lagi,” katanya.
Beliau menambah susah untuk pastikan orang baru melakukan lebih baik daripada orang yang digantikan.
Pentadbiran Mahathir akan menyambut ulangtahun pertama Pakatan Harapan menjadi kerajaan esok, setahun selepas ia memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei lepas.