
Bolehkah anda bayangkan makan malam dikelilingi pemandangan dan suasana seakan-akan realiti di luar kemampuan sambil dihiburkan dengan muzik latar bersesuaian mengikut tema.
Itulah kelainan yang ditampilkan dalam “Whimsy – A Dining Experience” yang dibawakan oleh 2Spicy Entertainment selepas melancarkan “Dinner In The Sky”, “Plane In The City” dan “Le Petit Chef”.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik khas yang disediakan, semua yang hadir terpegun dengan kilauan emas memenuhi setiap pelusuk ruang di dalam bilik tersebut.
Malah semua seakan terpegun dan tertawa kecil apabila nama setiap orang yang hadir tertera pada meja dan dinding sebagai tanda di mana sepatutnya anda duduk.
Semua hadirin terus menggunakan kesempatan yang ada mengambil gambar di bawah nama masing-masing dengan pelbagai aksi.

Selepas diperkenalkan kepada “American-Japanese”, Chef Jeff Ramsey yang memenangi anugerah “Michellin starred chef paling muda di Jepun”, lampu digelapkan dan bermulalah kilauan sinar bintang membuatkan kita rasa seperti berada di angkasa.

Teknik pencahayaan yang digunakan sememangnya memukau sesiapa sahaja yang merasai pengalaman itu.
Lebih kurang 5 minit terpukau dengan keindahan bintang dan langit yang terbentang luas di sekeliling, hos 3D, Daniella Sya memperkenalkan diri sambil memberi penerangan serba sedikit apa yang bakal semua lalui sepanjang makan malam tersebut.


Hidangan pertama “Biodome” iaitu “Smoked Duck And Lentil Salad, Squid Ink Risotto Moon Rock, Pesto dan Rossele Geodesic Bubbles” seiring dengan tema makan di angkasa membuatkan semua terus menikmati hidangan tersebut yang ternyata tidak mengecewakan.
Daging itik yang disalai memberikan rasa unik apabila digadingkan dengan risotto yang dimasak dengan dakwat sotong membuatkan semua mengunyah penuh nikmat.
Selesai sahaja makan hidangan pertama, setiap orang diberikan ipad. Kami tertanya-tanya apakah kegunaannya, tak mungkin hidangan seterusnya makan atas ipad ini.


Kemudian kami diberi penerangan untuk menggunakan ipad tersebut iaitu halakan kepada bintang horoskop yang terpamer di dinding untuk melihat ramalan masing-masing.
Ini adalah satu pengalaman yang membuatkan semua tersenyum riang apabila teknologi seumpama ini jarang sekali digunakan.
Sekali lagi semua yang berada dalam bilik khas ini mengambil gambar dengan kecanggihan teknologi yang digunakan.
Daripada “langit” kami dibawa turun melihat keindahan kehijauan pokok dan alam semesta.

Penataan bunyi yang digunakan membuatkan kami tercari-cari di mana burung itu terbang diikuti dengan bunyi akar kayu dan ranting menjalar di atas meja.
Hidangan ke-2 kami kali ini sungguh unik apabila ia dihidangkan dalam sarang burung bersesuaian dengan menu “The Nest” iaitu “63 Egg, Asparagus, Parmesan Cheese, Mushroom Duxelles dan Chicken Jus”.

Telur yang dimasak separuh masak tetapi pejal, cair sebaik sahaja masuk ke dalam mulut berselang seli dengan cheese parmesan dan jus ayam.
Daniella yang muncul setiap kali menu seterusnya dengan suasana baru akan beri penerangan apa yang sedang dilalui.
Bagi menu ke-3, semua hadiri dibawa menyusuri keindahan lautan dalam.

Namun sebelum itu, semua diminta untuk mengetuk meja iaitu salah satu pengalaman interaktif bagi memecahkan bongkah ais dan kemudiannya kami seolah-olah berenang bersama dengan ikan di lautan.
Hidangan yang disajikan dengan nama “The Sea” iaitu “Roast scallop, Japanese Turnip, Samphire dan Red Ogo Seaweed”.


Uniknya ia dihidangkan dalam siput besar yang disusun bersama batu laut dalam pinggan dan setiap kali scallop masuk ke mulut, kelembutannya tak dapat digambarkan.
Hidangan ke-4 sekali lagi suasana bilik itu berubah wajah bertukar seolah-olah berada di “funfair”.



Warna warni penataan cahaya membuatkan semua berasa terhibur dengan hidangan yang disajikan iaitu “Popcorn & Chocolate” yang menampilkan “Pan Seared Foie Gras with Chocolate Perfumed Jus dan Free Range Chicken with Popcorn Sauce”.
Ketika ini semua menikmati hidangan dengan perasaan gembira sesedap makanan yang disajikan terutama sekali ayam dan sos popcorn yang sungguh menyelerakan.
Sebelum dihidangkan menu terakhir, kami sekali lagi diberikan ipad di atas meja masing-masing.

Dan kali ini disekeliling bilik itu dipenuhi dengan lampu tanglung dalam 3D projector, ipad yang diberikan pula adalah untuk setiap orang menulis atau melukis apa yang dihajati.
Sebaik sahaja tekan butang “submit” apa yang ditulis akan keluar di dalam lampu tanglung yang muncul di dalam bilik itu.
Aplikasi ini ternyata menghiburkan semua yang berada di dalam bilik itu apabila semua mula menulis kata-kata perangsang untuk diri sendiri dalam kerjaya ataupun dalam kehidupan peribadi.
Sepuluh minit diberikan untuk hadirin berhibur dan selepas itu hidangan pencuci mulut disajikan.
Hidangan itu adalah “The Egg” yang terdiri daripada “White Chocolate Egg, Praline And Dark Chocolate Fuilletine, Vanila Cream Pate, Fresh Fruits The Magical Dining Experience”.

Pencuci mulut ini sungguh unik apabila hadirin perlu mengetuk coklat putih yang dibentuk seperti tanglung dan barulah dapat menikmati aiskrim yang terletak di dalamnya.
Secara jujurnya 90 minit yang diperuntukkan untuk setiap sesi bagi 6 set hidangan tidak sedar masa berlalu, malah semua yang berada di dalam bilik itu seperti mahu terus berada di situ.
Makan malam dengan kecanggihan teknologi 360 projektor yang terletak di 231, Jalan Bukit Bintang, Imbi Kuala Lumpur perlu ditempah secara atas talian di https://whimsy.com.my/ atau belinya di kaunter Skyland, Bukit Bintang.
Setiap sesi hanya diperuntukkan kepada 10 orang dan bermula dengan umur 7 tahun.
Harga setiap seorang untuk “Gold Journey” ialah RM299 dan bagi “Platinum Journey” ialah RM499.
Jadual sesi makan malam Whimsy:
- Selasa sehingga Jumaat terdapat 2 sesi iaitu 6.30 petang dan 8.30 malam.
- Sabtu dan Ahad terdapat 3 sesi iaitu 5 petang, 7 malam dan 9 malam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]