Tampar pemuda bukan Islam, warga emas mengaku tak salah

Tampar pemuda bukan Islam, warga emas mengaku tak salah

Abdul Razak Ismail buat pengakuan itu apabila sekali lagi didakwa selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru lepas tanpa bebas tertuduh pagi tadi.

Abdul Razak Ismail di Kompleks Mahkamah Johor Bahru. (Gambar China Press)
PETALING JAYA:
Warga emas yang didakwa semula kerana menampar seorang pemuda bukan Islam yang makan di sebuah pasar raya pada Ramadan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Abdul Razak Ismail, 65, membuat pengakuan berkenaan selepas pada sebelah pagi tadi, mahkamah sama melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh selepas pihak pendakwaan memaklumkan kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot L1 14 dan 15, Tingkat 1, sebuah pusat beli belah, di Tampoi, di sini, kira-kira 6.15 petang, Ahad lalu, lapor Harian Metro.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala Abd Razak diwakili peguam Mohd Salleh Togimin.

Nor Afiqah kemudian menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh sementara menunggu kes disebut semula.

Namun, peguam tertuduh ketika berhujah berkata, jaminan RM8,000 adalah terlalu tinggi buat Abdul Razak yang juga pesara kerajaan yang perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Dimohon tawaran jaminan rendah diberikan kerana tawaran jaminan RM8,000 itu seolah-olah hukuman awal terhadap OKS, walaupun dia belum disabitkan bersalah,” katanya..

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu, dilaporkan Abdul Razak mengaku bersalah, tetapi tidak mengakui fakta kes dibacakan jurubahasa.

Justeru, Majistret A Shaarmini menolak pengakuan bersalahnya dan memerintahkan warga emas itu melantik peguam bagi membela diri.

Namun, pihak pendakwaan memohon DNAA susulan terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan difailkan individu terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.