Semua kedai makan tak perlu jual rokok, kata pakar kesihatan

Semua kedai makan tak perlu jual rokok, kata pakar kesihatan

Pakar kesihatan juga menyeru pemilik kedai makan melaksanakan tanggungjawab menegur dan mencegah pelanggan merokok.

Ahad lalu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengesyorkan ‘kedai mamak’ tidak lagi menjual rokok.
PETALING JAYA:
Semua kedai makan juga tidak perlu menjual rokok, kata pakar kesihatan.

Mengulas syor Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) supaya ‘kedai mamak’ tidak lagi menjual rokok, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata tindakan itu patut dipuji.

Beliau berkata, semua pemilik kedai makan wajar mengikut cadangan itu, tidak tertakluk kepada premis bawah Presma sahaja dalam usaha membantu kerajaan mencegah tabiat merokok.

“Sememangnya saya boleh kata patut dan sangat digalakkan. Inisiatif sukarela daripada organisasi dan rakyat untuk sama-sama membantu mencegah tabiat berbahaya ini harus terus dipuji dan dihargai,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Presiden Presma, Jawahar Ali Taib Khan, berkata setakat ini lebih 40% daripada 12,000 premis bawah persatuan itu tidak lagi menjual rokok.

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Feb lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Okt lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga menguatkuasakan larangan serta-merta penjualan produk rokok di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.

Dr Jamalludin Ab Rahman.

Turut dilarang serta-merta apa jua bentuk iklan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, Jamalludin menyeru pemilik kedai makan melaksanakan tanggungjawab menegur dan mencegah pelanggan merokok.

Katanya, mereka bukan sahaja boleh terus menegur malah menghubungi bahagian penguat kuasa kesihatan bagi tujuan pelaporan kesalahan merokok melalui ‘hotline’ disediakan KKM.

“Akta merupakan salah satu cara untuk menghindari tabiat tidak sihat dalam masyarakat. Bagaimanapun, rakyat harus bersama menyokong dan memupuk keinginan sendiri serta keluarga terdekat untuk menjauhi tabiat merokok atau menghisap vape,” katanya.

Turut senada, Pakar Perunding Kesihatan Awam, Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata langkah itu dapat mengurangkan kebolehcapaian produk rokok.

Katanya, budaya menganggap merokok sebagai tabiat yang ‘biasa-biasa’ khususnya bagi generasi akan datang perlu diubah.

“Bagaimanapun, faktor tidak menjual rokok perlu dibantu dengan kawalan pengiklanan, promosi, harga dan larangan yang boleh mendatangkan impak diharapkan,” kata timbalan naib canselor penyelidikan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.