
Dalam satu kenyataan yang diterima FMT, jurucakap itu memaklumkan Low sedar pemilik hartanah di Oriole Drive itu sudah berjaya merundingkan suatu perjanjian dengan kerajaan AS untuk memulakan jualan harta itu dalam usaha bersama untuk memelihara nilai hartanah, sambil memastikan tuntutan pemilik dilindungi dan boleh diteruskan secara teratur.
“Perjanjian-perjanjian yang dirundingkan itu sama sekali berbeza dengan tindakan bermotif politik rejim-rejim tertentu, yang bukan sahaja merampas aset secara haram dan menghancurkan nilainya tetapi juga menunjukkan ia tidak peduli tentang kedaulatan undang-undang, nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.
Beliau dipercayai merujuk kepada jualan kapal mewah “Equanimity” kepada Genting Berhad pada separuh nilai asalnya.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan rumah agam tak berpenghuni di kawasan mewah Sunset Strip itu semakin terbiar hari demi hari dan berdepan kos cukai, insurans dan penyelenggaraan berjumlah AS$690,000 setahun, kata peguam Jabatan Kehakiman AS dan syarikat pegangan Low dalam satu permohonan untuk menjual hartanah itu yang difailkan di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles, Jumaat lepas.
Sesetengah aset yang mahu dirampas oleh kerajaan AS, termasuk pegangan Low dalam EMI Music Publishing, telah dicairkan atas perintah mahkamah dan hasil jualannya ditahan sementara menunggu kesudahan saman pelucutanhak yang difailkan.
Begitu jugalah rancangan terhadap rumah agam di Los Angeles itu: hasil jualannya akan menggantikan hartanah tersebut sebagai defendan dalam kes pelucutanhak kerajaan.