
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berkata memupuk semula rasa percaya (trust) antara penduduk dan pemaju penting dalam mencapai penyelesaian tuntas.
“Jangan hantar orang tengah. Jangan hantar ejen. Jangan hantar penama (nominee). Tak mahu. Dia datang. Tunjuk muka dia siapa. Sekarang kita tak tahu siapa. Terdengar nama je,” katanya.
“Turun. Tunjuklah ‘saya pemilik, saya boleh buat keputusan’.”
Johari berkata demikian dalam audio siar Buletin TV3 semalam bagi mengupas isu Kampung Sungai Baru.
Beliau berkata pemilik pemaju juga perlu memulihkan reputasinya memandangkan masalah timbul kerana kesilapan syarikat itu dalam merancang.
“Sebenarnya pemaju ni yang paling salah sekali, sebab sepatutnya sebagai pemaju yang bertanggungjawab, dia dah tahu, dia dapat persetujuan 67% (penduduk), lagi 33% belum bersetuju, dia tak boleh pindahkan 67% ni,” katanya.
“Dia patutnya biarkan 67% tu duduk di situ dulu, pasal dia dah ada persetujuan. Cuma dia kena berurusan dengan 33%. Kalau nak berurusan dengan 33% tu, ambil masa lagi lima tahun, tak apa, orang pun tak marah pasal dia masih duduk kat situ.”
Johari merujuk kepada 67% penduduk yang bersetuju dengan tawaran pemaju, menandatangani perjanjian berkaitan, dan berpindah bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan tersebut.
Mereka merangkumi 219 pemilik rumah pangsa dan 27 pemilik rumah teres. Peratusan selebihnya merangkumi 109 orang iaitu 72 pemilik rumah pangsa dan 37 pemilik rumah teres yang tidak bersetuju.
Menurut Johari, pemilik yang bersetuju dijanjikan unit kediaman baharu namun pembinaan belum pun bermula dan mereka mendiami rumah sewa.
“Selagi pemaju ni tak mula kerja, selagi itulah saya tak boleh beritahu bila boleh dapat,” katanya.
Johari menambah badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu ini tidak mendesak pemaju berkenaan. “Dia patut desak pemaju sebab kamu dah ambil geran orang.”
Dalam pada itu, beberapa peguam menasihati Johari bahawa perjanjian ‘usaha sama’ yang ditandatangani pemilik menyatakan mereka memberi tempoh lima tahun kepada pemaju untuk mendapatkan kelulusan dan empat tahun lagi untuk pembangunan.
Johari berkata pemaju berkenaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah (APT) untuk mengusir 33% pemilik yang tidak bersetuju namun timbul pertikaian di mahkamah mengenai nilai pampasan, menyebabkan syarikat itu tidak bersedia untuk buat projek tersebut.
Katanya, pemaju berkenaan boleh dapat kelulusan merancang selepas tanah dimiliki dan semua orang berpindah.
“Kamu dah bayar pampasan yang orang tengah nak lawan dekat mahkamah ni itu soal nombor dua. Ini soal bila kamu nak mula dan kamu kena buat,” katanya.
Kebenaran merancang
Sementara itu, Johari berkata beliau difahamkan bahawa pemaju sudah dapat kebenaran merancang dan kelulusan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini.
“Menteri wilayah yang baru, Dr Zaliha Mustafa, dia faham apa yang saya ceritakan. Sebab itu dia pun amat beri perhatian,” katanya.
Johari berpandangan semua pihak terpaksa memastikan pembangunan itu dilakukan secepat mungkin supaya penduduk mendapat unit-unit yang dijanjikan.
“Sebab tanah-tanah ini semua dah pindah atas nama syarikat ni. Esok kalau syarikat ni atas alasan tertentu tidak boleh buat, dia jatuh muflis, 67% itu tak ada hak nak ambil tanah ini sebab tanah itu atas dia,” katanya.
“Paling tidak yang 33% yang tak setuju ni dia dapat duit dulu (pampasan susulan APT). Sekarang dia nak lawan kat mahkamah… ada 58 atau pun 55 kes… Yang ni (67%)? Yang dah tujuh tahun ni?”
Johari berharap projek tersebut tidak terbengkalai dan pemaju membina dua blok dahulu untuk memulangkan unit-unit rumah yang sudah dirobohkan.
“Pemaju kena melihat perkara ni dengan begitu serius, dan dia secepat mungkin kena mulakan pembangunan supaya unit-unit yang siap ini nanti boleh diserah balik kepada mereka yang telah serah mereka punya flat untuk dapatkan apa yang telah dijanjikan,” katanya.
Beliau juga berharap pemaju tidak merayu keputusan mahkamah sekiranya ia memihak kepada kelompok 33% yang mempertikaikan nilai pampasan.
“Jadi dia boleh teruskan buat projek ini sebab dia dapat 7.8 ekar tanah, bagi saya dari konteks penilaian (valuation), kira murah,” katanya.
Johari juga menyeru pemaju berlaku adil kepada rakyat.
“Sama-sama dah buat kesilapan. Rakyat mungkin tak faham pada ketika itu, tidak ada pemimpin yang menasihati dia waktu sebelum dia pindah,” katanya.