Air mata Kanagi sekeluarga sambut ‘lelaki Melayu’ misteri yang mengubah hidup mereka

Air mata Kanagi sekeluarga sambut ‘lelaki Melayu’ misteri yang mengubah hidup mereka

Adi Kamal, individu yang hanya dikenali oleh keluarga itu sebagai lelaki Melayu' dan yang kepadanya Kanagi mahu ucapkan terima kasih secara berdepan, akhirnya tiba untuk bertemu mereka.

Adi melutut untuk memperkenalkan dirinya kepada anak lelaki Sukumarah, S Hariaran.
SHAH ALAM:
Sebuah kereta berwarna hitam bergerak masuk perlahan-lahan sepanjang sebatang jalan kerikil dan M Kanagi, entah untuk kali ke berapa, sekali lagi menyapu halaman depan rumahnya.

Sejak nasib keluarganya yang dihimpit kemiskinan tular di Facebook dan dilaporkan oleh FMT, ramai dermawan dan penyokong berkunjung ke rumah sewaan mereka di Padang Jawa, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Tetapi kereta hitam ini membawa pengunjung paling istimewa – lelaki pertama yang bercakap tentang kisah mereka sekeluarga dan merayu bantuan orang ramai yang prihatin.

Adi Kamal, individu yang hanya dikenali oleh keluarga itu sebagai “lelaki Melayu” dan yang kepadanya Kanagi mahu ucapkan terima kasih secara berdepan, akhirnya tiba untuk bertemu mereka.

Adi dan Juita akhirnya bertemu Sukumarah dan keluarga beliau.

Adi dan isterinya Juita Jayaram, jelaslah merupakan pasangan pendiam yang sesekali tidak mahu dikenali umum.

FMT akhirnya berjaya memujuk mereka supaya membenarkan kami mengatur pertemuan itu dan juga membenarkan jurukamera kami mengikuti mereka.

Sewaktu Adi dan Juita melangkah keluar dari kereta, Kanagi dan suaminya S Sukumarah meluru menyambut mereka.

“Terima kasih abang, kakak,” kata Kanagi di celah-celah cucuran air mata, bergelut mencari patah kata-kata bagi meluahkan kegembiraan yang membuak di dadanya.

Air mata bercucuran ketika Kanagi mengucapkan terima kasih kepada Adi dan Juita.

Di rumah kecil mereka, Kanagi berbuat sebaik mungkin untuk meraikan Adi dan Juita. Beliau menghidangkan air sirap sejuk dan menawarkan satu-satunya kerusi yang mereka miliki.

Namun Adi dan Juita memilih untuk duduk di lantai bersama-sama keluarga itu sambil bercerita tentang hari pertemuan Adi dengan Sarmini dan Sukumarah, dan bagaimana kehidupan keluarga itu berubah sejak itu.

Kanagi dengan penuh rasa teruja menunjukkan potongan akhbar gambar Adi yang telah siap dibingkaikan. Beliau memberitahu bagaimana mereka mencarinya sejak hari tersebut di Shah Alam, tetapi gagal.

Anak-anak Kanagi bercerita tentang keseronokan mereka pergi ke sekolah dan belajar.

Adi dan Juita memberikan Hariaran sebiji bola sepak dan Sarmini beg sekolah. Wajah mereka berseri ketika menerimanya. Beberapa keping coklat juga bertukar tangan.

Pasangan tersebut dibawa melihat sekeliling rumah kecil itu dan ditunjukkan katil, almari dan peti sejuk yang dibeli dengan wang sumbangan yang mencurah masuk selepas hantaran Adi menjadi tular.

Bagaimanapun puncak kegembiraan rumah tangga itu tertumpu pada peralatan elektrik baru yang dibeli bagi menggantikan baldi dan kain lap lusuh Sukumarah bagi membolehkannya memulakan peniagaan mencuci keretanya yang lebih baik.

Sukumarah memberitahu Adi dan Juita bahawa beliau masih menghadapi beberapa masalah, seperti mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam, namun beliau yakin hari-hari gelap lampau telah mula berubah cerah kini.

Adi mengambil gambar bersama Sukumarah dan keluarga sebelum mengucapkan selamat tinggal.

“Terima kasih banyak. Abang membantu kami. Kami sekarang OK,” katanya.

“Dulu tiada siapa yang peduli tentang kesempitan hidup kami. Selama 2 tahun saya membasuh kereta di jalanan. Ribuan orang lalu lalang, tetapi tiada seorang pun yang membantu melainkan abang.” Senyum lebar di muka Sukumarah melakar kisahnya yang tersendiri.

Di penghujung pertemuan hampir 1 jam itu, Kanagi, yang jelas menahan perasaan sejak sekian lama, tidak lagi mampu bertahan. Air mata mula mengalir membasahi pipinya.

“Sampai saya mati, saya tidak akan melupakan jasa baik abang kepada kami,” kata Kanagi dengan air mata, sambil Juita memeluknya.

Gembira kerana mereka akhirnya dapat mengucapkan terima kasih kepada “lelaki Melayu” itu, keluarga Kanagi melambai pergi kereta hitam yang datang, kembali ke jalan kerikil di luar rumah mereka.

Kata Adi tentang kunjungan itu: “saya doakan yang terbaik untuk mereka dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengongsi kisah mereka.

“Ketika saya mula-mula bertemu Sukumarah, beliau nampak keletihan. Kehidupan beliau sudah pasti sangat sukar. Hari ini, beliau seorang yang baru.”

Pasangan budiman yang pendiam itu berharap suatu hari nanti rakyat Malaysia akan dapat melayani sesama mereka atas asas yang sama tanpa mengira kaum dan agama, selain membantu orang yang memerlukan yang mereka temui.

“Kita hanya perlu bersikap baik antara satu sama lain dan bersyukur atas apa-apa yang kita miliki. Terlalu ramai orang baik yang bekerja kuat, tetapi mereka tidak punyai apa-apa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.