
Zainol Din Hussain, 61, berkata, beliau sekeluarga menyerahkan kes itu untuk disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Saya tidak mahu kejadian ini berulang di tempat lain. Saya maafkan dia. Walaupun saya rasa sedih, saya anggap dia sebagai anak yang buat saya macam ni.
“Saya serah kepada undang-undang dan pihak polis, kita ada undang-undang, biar undang-undang selesaikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Jawa.
Ahad lalu, tular video selama 21 saat memaparkan seorang lelaki memukul seorang warga emas sehingga terjatuh di atas jalan.

Orang ramai yang melihat insiden itu cuba menghentikan perbuatan lelaki terbabit, tetapi berlaku pergelutan antara individu itu dan orang awam.
Suspek ditahan polis pada hari sama kejadian, iaitu 22 Mei lalu, selepas Zainol membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Mengulas lanjut Zainol berkata, beliau baru selesai menjalani rawatan dialisis sehari sebelum kejadian menyebabkan badannya agak lemah untuk mempertahankan diri ketika pergelutan.
“Saya tidak melawan sebab terpaksa selindung tangan kiri saya yang dijadikan tapak dialisis. Tangan kiri saya bengkak-bengkak kesan daripada rawatan itu dan masih sakit pada hari kejadian.”
Beliau turut menafikan tuduhan lelaki itu berhubung pelanggaran antara keretanya dengan motosikal suspek, serta dakwaan isyarat lucah menjadi punca berlaku pergelutan itu.
Sejak kejadian itu katanya, keadaan kesihatannya semakin merosot, malah beliau dan isteri kini trauma untuk keluar rumah.
“Sejak kejadian, saya sukar bernafas, manakala bahagian tulang rusuk kiri saya kerap rasa sakit. Saya terpaksa dipapah isteri atau anak untuk bangun.”