Anak muda Britain berbasikal dan busking demi Malaysia

Anak muda Britain berbasikal dan busking demi Malaysia

Anak Muda Britain berumur 11 tahun memilih Malaysia sebagai destinasi percutian

Semangat kental seorang remaja mencari duit kerana keinginannya untuk melawat Malaysia dan pada masa yang sama mengenali Malaysia dengan lebih mendalam seharusnya dibanggakan.

Noam Dewhurst yang berasal dari Britain dan berumur 11 tahun mengambil inisiatif dengan membuat kayuhan basikal merentasi 8 pekan dan desa sejauh 80.5km selama 2 hari iaitu pada 20 dan 21 April lalu hanya untuk mengutip dana sebanyak yang mungkin.

8 pekan yang beliau pergi itu apabila disusun huruf pertamanya menjadi M-A-L-A-Y-S-I-A, malah dia turut membawa Jalur Gemilang yang dikibarkan di basikalnya.

Apabila sampai di setiap destinasi, dia akan memainkan lagu Negaraku menggunakan alat muzik trompetnya.

Dengan derma yang diperoleh daripada penduduk Norfolk, kutipannya itu cukup untuk membawanya bersama kumpulan South Norfolk Youth Symphonic Band (SNYSB) ke Malaysia.

Ketika ditanya mengapa memilih Malaysia sebagai destinasi, Ben Dewhurst iaitu bapa ke Noam berkata SNYSB telah melawat negara itu 2 kali sebelum ini dan mempunyai beberapa kenalan di Kuala Lumpur dan Kelab Rotary Kuching, Sarawak.

Namun lawatan kali ini, katanya akan menjadi pengalaman pertama buat Noam untuk mengetahui dan melawat Malaysia dengan lebih mendalam.

Tambah Ben, ketika kayuhan basikal itu mengelilingi pekan dan desa, beberapa penduduk tempatan di Britain didapati mengenali Malaysia.

“Kebanyakan daripada mereka kenal Malaysia kerana pernah pergi ke sana dan Noam telah memberitahu mereka yang dia juga akan ke sana,” jelas Ben.

Katanya lagi, penduduk Norfolk sangat menyokong usaha yang dilakukan anaknya.

Noam juga dilihat sangat teruja bermain trompet sepanjang kayuhannya itu apabila mengalunkan muzik lain daripada budaya negaranya sendiri.

Dia juga tidak sabar untuk mencuba makanan tradisi Malaysia termasuklah nasi serta lauk pauk tempatan.

Percutian itu jelas Ben lagi akan dihabiskan dengan membuat persembahan di beberapa sekolah tempatan di Malaysia dan melawat tempat-tempat menarik seperti Menara Berkembar Petronas serta ke Kuching dan lokasi berhampiran dengan tempat perlindungan Orang Utan.

“Kerana Malaysia ini sungguh berbeza, saya rasa ada beberapa perkara yang akan kita pelajari jika berada di luar.

“Noam berkata yang dia akan mengenali cara kehidupan di Malaysia dengan lebih dekat lagi dan melihat apa persamaan atau perbezaan dengan kehidupan kita di sini,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti perkembangan Noam boleh layari laman sosial Facebook www.facebook.com/bikeandbusk.

Derma juga boleh dibuat di https://www.justgiving.com/crowdfunding/bikeandbusk.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]</em

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.