Loji rawatan air Simpang Renggam ditutup lagi akibat ammonia, kata exco

Loji rawatan air Simpang Renggam ditutup lagi akibat ammonia, kata exco

Exco Johor, Jimmy Puah berkata, LRA Simpang Renggam terpaksa dihentikan sekali lagi disebabkan peningkatan kandungan ammonia selepas hampir 12 jam ia beroperasi semula.

Jimmy Puah berkata, LRA Simpang Renggam baru beroperasi semula pada 11 malam Rabu lalu. (Gambar FB)
KLUANG:
Operasi loji rawatan air (LRA) Simpang Renggam terpaksa ditutup sekali lagi oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) ekoran kemerosotan kualiti sumber air mentah akibat ammonia, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, LRA Simpang Renggam baru beroperasi semula pada 11 malam Rabu lalu.

Katanya, pihak berkuasa ketika itu sudah memastikan keadaan selamat dengan kandungan bahan berbahaya itu berkurangan dan tidak berada di tahap yang boleh mendatangkan risiko.

“Bagaimanapun, selepas hampir 12 jam loji ini beroperasi semula, kita terpaksa memberhentikan sekali lagi pada 11 pagi (Khamis), selepas mendapati kandungan ammonia meningkat 6.2 partikel per sejuta (PPM).

“Bacaan terbaru pada 12 tengah hari menunjukkan kandungan ammonia di loji itu turun sedikit kepada 5.8 PPM dan kita sedang memantau kualiti air ini setiap jam, sebelum ia dapat diproses dan diagihkan kepada penduduk di Simpang Renggam,” katanya selepas melawat Taman Renggam Jaya, semalam bersama Ranhill SAJ.

Bagi mengatasi masalah buat sementara di kawasan terjejas, 30 lori tangki air milik Ranhill SAJ di seluruh Johor, termasuk agensi swasta digerakkan ke Simpang Renggam, khasnya sekitar premis kerajaan.

Puah berkata, setiap lori tangki air mempunyai isipadu air 9,000 liter dan boleh membekalkan air kepada kira-kira 30 rumah.

“Lori tangki air ini akan berada di kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya dan kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.