
Pengarah JAS, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berjaya mengawal sepenuhnya kebocoran itu dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) membawa keluar tong bahan kimia dengan menempatkannya dalam “waste drum”.
“Berdasarkan cerapan JAS Kedah pada 3.39 petang tadi, bacaan gas ammonia di kawasan kebocoran (zon merah) pada 6 hingga 8 ppm, manakala bacaan gas ammonia di kawasan zon hijau 0 ppm.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati kepekatan gas ammonia di bawah tahap dibenarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), iaitu 25 ppm,” katanya menurut Harian Metro.
Tetapi, beliau berkata, pihak kilang perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas premisnya kerana tumpahan bahan mentah dan bahan kimia pernah berlaku di sana beberapa bulan lalu.
Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, 22 pekerja mengalami muntah dan sesak nafas akibat kebocoran gas ammonia.
Terdahulu, akhbar sama melaporkan 21 pekerja kilang pembuatan sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dikejarkan ke hospital kerana muntah dan sesak nafas akibat kebocoran gas ammonia.
Kejadian itu tidak sampai 24 jam selepas 17 pekerja pening kepala dan pedih mata, dengan seorang daripadanya pengsan akibat terhidu natrium hipoklorit, semalam.