
Kejadian itu tidak sampai 24 jam selepas 17 pekerja pening kepala dan pedih mata, dengan seorang daripadanya pengsan akibat terhidu natrium hipoklorit, semalam.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Johari Bar Azwar berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh ambulans Kementerian Kesihatan serta jentera EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani.
Katanya, terdahulu, pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah menerima maklumat berlaku tumpahan bahan kimia di kawasan kilang itu.
Beliau berkata, 22 anggota dari BBP Sungai Petani dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan pada 10.01 pagi tadi.
“Komander operasi melaporkan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) dari BBP Kulim sedang mengenal pasti bahan kimia serta membuat pengalihan bahan berkenaan.
“Setakat ini operasi masih berjalan,” katanya menurut Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja pengsan dan 16 lagi pedih mata serta pening akibat tumpahan natrium hipoklorit di sebuah kilang di Bakar Arang, semalam.