
Timbalan Komandar Pangkalan Tentera Laut 3, RTN, Laksamana Muda Vithanarat Kochaseni berkata, 3 buah bot dihantar untuk membuka struktur – sebuah kabin berukuran 6m lebar dan 2m panjang berbentuk oktagon itu dan tiang dasar sebelum ditunda ke tepi pantai.
Beliau berkata struktur yang dibina pada jarak kira-kira 22km dari pantai Phuket itu milik Chad Elwartowski, seorang pelabur mata wang kripto, bitcoin dan teman wanitanya, Supranee Thepdet yang dikenali sebagai Bitcoin Girl Thailand.
“Pasangan itu mengumumkan dalam media sosial bahawa mereka bebas dan melampaui bidang kuasa undang-undang negara termasuk Thailand.
“Ini adalah ancaman kepada kedaulatan Thailand,” katanya kepada media di sini.
Vithanarat berkata kabin itu dijangka tiba di Pelabuhan Laut Dalam Phuket sebelum tengah malam tadi manakala tiang dipacak di dasar laut dibuka dan dijangka tiba pagi esok.
“Struktur itu akan digunakan sebagai bahan bukti dakwaan terhadap pasangan itu,” katanya,
Sebelum ini, akhbar Bangkok Post memetik Timbalan Gabenor Phuket, Supot Rodrueang na Nongkhai sebagai berkata pasangan itu akan dikenakan dakwaan seawal-awal minggu depan.
Pada Februari lalu, pasangan itu muncul dalam video dokumentari dengan mempromosikan kehidupan di perairan antarabangsa serta bebas daripada undang-undang negara.
Pasangan itu tinggal di kabin tersebut selama 2 bulan sebelum RTN menyerbu kabin tersebut pada 13 April lalu.
Bagaimanapun, pasangan itu menghilangkan diri dan pihak polis sedang mengumpul bahan bukti sebelum mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan itu yang dipercayai bersembunyi di negara itu.
Pihak berkuasa juga membatalkan visa Elwartowski dan akan mendakwa pasangan itu atas kesalahan mencabuli kedaulatan Thailand yang membawa kepada hukuman mati.