Rumah atas air di Tanjung Aru terbakar lagi

Rumah atas air di Tanjung Aru terbakar lagi

Kebakaran itu kali ketiga berlaku selepas kali pertama pada 25 Mei yang memusnahkan 25 rumah manakala kejadian kedua pada 6 Jul membabitkan 10 rumah.

Sebanyak 15 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
KOTA KINABALU:
Sebanyak 15 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru, awal pagi tadi.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba lima minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak sehingga memusnahkan 15 rumah berstruktur kayu atas air.

“Pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebahagian lagi rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Hamsa berkata, api berjaya dikawal pada 5.49 pagi dan operasi pemadaman masih berjalan.

Katanya, api merebak terlalu cepat kerana struktur rumah yang dibina daripada kayu dan berdekatan satu dengan lain.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran,” katanya.

Selain itu, katanya, lima kenderaan milik penghuni di kampung berkenaan turut musnah selepas gagal diselamatkan.

Operasi turut dibantu polis, Jabatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Kebakaran di penempatan atas air itu kali ketiga berlaku selepas kali pertama pada 25 Mei yang memusnahkan 25 rumah manakala kejadian kedua pada 6 Jul membabitkan 10 rumah musnah terbakar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.