
Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, tiga lelaki tempatan berumur 40 hingga 59 tahun dan seorang wanita tempatan 75 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 1.30 pagi hingga 12 tengah hari.
“Suspek wanita ialah kakak kepada seorang suspek lelaki yang turut ditahan ketika serbuan,” katanya menurut Bernama dalam sidang media di IPK Johor.
Beliau berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari lalu itu menjadikan rumah atas air sebagai tempat pemprosesan dan pembungkusan semula dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Rumah atas air itu ialah rumah dua beradik terbabit dan bukan rumah sewa…sebelum ini, lokasi yang dijadikan kegiatan seumpama ini ialah kawasan perumahan berpengawal seperti pangsapuri dikawal ketat, tetapi yang ini seperti rumah biasa.
“Kalau kita lihat, tidak mungkin rumah seperti ini digunakan, (jadi ia) satu daripada modus operandi baharu digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.”
Dalam serbuan itu, polis merampas 25.5kg serbuk ekstasi, pil Eramin 5 (970 biji), pil ekstasi (1,700 biji), ketamin (232.60g) dan ganja (369.02g) yang bernilai RM4.32 juta, selain pelbagai alat memproses dadah serta membungkus serbuk ekstasi.
“Pihak polis juga menyita enam kereta, wang tunai RM21,000 dan wang tunai dolar Singapura berjumlah SGD13,000 (RM45,676).”
Kumar berkata, sindiket itu membuat inovasi sendiri dengan menghasilkan tempat mengeringkan serbuk ekstasi sebelum dibungkus.
“Malah, mereka juga menghasilkan mesin acuan pil ekstasi dan Eramin 5 bagi mendapatkan cetakan pil kemas. Sebiji pil ekstasi dijual pada harga pasaran RM20. Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan 88,234 penagih.”
Katanya, hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Peranan wanita warga emas itu masih dalam siasatan. Kita juga sedang menyiasat rumah bersebelahan lokasi serbuan…kita percaya ada lagi ahli sindiket masih bebas dan dalam usaha mengesan ahli lain,” katanya sambil menambah semua suspek direman seminggu berakhir hari ini untuk disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.