Sri Lanka kuat kuasa perintah berkurung selepas letupan ke-8

Sri Lanka kuat kuasa perintah berkurung selepas letupan ke-8

Setakat ini, hampir 160 orang disahkan terbunuh dalam 8 letupan yang berlaku di sekitar Colombo hari ini.

Anggota tentera mengawal di luar Gereja St Anthony di Kochchikade, susulan satu siri letupan menyasarkan gereja dan hotel mewah di Sri Lanka, hari ini. (Gambar Reuters)
COLOMBO:
Kementerian Pertahanan Sri Lanka mengarahkan perintah berkurung dikuatkuasakan, selepas hampir 160 nyawa terkorban dalam letupan yang menggegarkan beberapa gereja dan hotel di sekitar Colombo hari ini.

Kementerian itu berkata, perintah berkurung akan bermula 6 petang ini waktu tempatan sehingga 6 pagi esok.

Sementara itu, kerajaan Sri Lanka turut melaksanakan larangan sementara ke atas media sosial susulan serangan pada sambutan Hari Easter.

“Kerajaan memutuskan untuk menyekat semua saluran media sosial bagi mengelakkan maklumat salah dan tidak betul disebarkan.

“Ini hanya langkah sementara,” kata Udaya R Seneviratne, setiausaha presiden dalam satu kenyataan.

Setakat ini, 8 letupan dilaporkan berlaku di Sri Lanka dengan yang terbaru di pinggir bandar Orugodawatta, utara Colombo, tetapi tiada butiran mengenai sasaran serangan berkenaan.

Terdahulu, jurucakap polis, Ruwan Gunasekera dipetik AFP berkata, letupan ke-7 berlaku di sebuah hotel di Dehiwala, selatan pinggir bandar Colombo yang meragut sekurang-kurangnya 2 nyawa.

Reuters pula melaporkan ia adalah hotel ke-4 yang diserang penjenayah hari ini. Hotel itu terletak berhampiran zoo negara, dekat Colombo.

Menurut laporan itu, pegawai segera menutup zoo negara selepas letupan ke-7 itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.