
Ketua Polis Kulim, Zulkifli Azizan, berkata dua suspek ditahan di Taman Senangin dan Paya Besar hari ini selepas video 22 saat kejadian itu tular di media sosial.
Menurutnya, penahanan pertama membabitkan seorang lelaki 34 tahun yang beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai khidmat pelanggan serta mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Suspek kedua lelaki berusia 23 tahun beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas dan bekerja sebagai pembantu kedai juga mempunyai satu rekod jenayah lalu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek kenalan lama dan mereka lepak bersama beberapa rakan di lokasi ketika kejadian.
“Suspek pertama dalam keadaan mabuk mendapatkan mercun jenis ‘kelapa’ di sebuah khemah menjual bahan letupan itu pada harga RM200.
“Suspek kemudian memasukkan mercun itu dalam sebuah silinder tersedia di tepi jalan dan pada waktu itu, rakan lain dan orang ramai yang lalu turut menyaksikan pertunjukan mercun di situ.”
Katanya, suspek kedua membakar mercun itu, tetapi tidak meletup dan disyaki suspek pertama memasangnya terbalik akibat mabuk.
Zulkifli berkata, 22 mangsa yang lalu dan berada di situ cedera, termasuk seorang mangsa retak tengkorak dahi dan kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang.
Setakat ini, menurutnya, 10 mangsa sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.