
Bercakap kepada FMT, Hoo Ke Ping berkata ia berpunca daripada nilai ringgit yang lebih lemah dan kejatuhan pasaran saham.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Meng baru-baru ini berkata, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang trend semasa yang menyaksikan angka import menurun.
Pada Februari, import jatuh 9.4% kepada RM5.5 bilion, angka terendah sejak Mei 2016.
Ong berkata, angka Februari menunjukkan keperlahanan tahun ke tahun, dan menyebut bahawa Tahun Baru Cina tahun ini jatuh pada hari Selasa dan Rabu, berbanding Jumaat dan Sabtu tahun lepas.
Beliau berkata, kebanyakan kilang ditutup sepanjang minggu, lalu menyebabkan pengeluaran lebih rendah.
Bagaimanapun Hoo berkata, andaian itu tidak tepat. Katanya, berdasarkan import bulan ke bulan, ia jatuh sebanyak 3.5% pada November dan 5.4% (Disember), menaik 1.4% pada Januari sebelum merosot sebanyak 24.8% pada Februari.
Beliau berkata, kemerosotan ringgit sejak Mei tahun lepas menyebabkan import menjadi lebih mahal, lalu menjadikan harga lebih tinggi.
“Akibatnya tergambar pada angka jualan domestik dalam semua sektor, selain kemerosotan dalam keyakinan perniagaan,” tambahnya.
Hoo juga berkata, nilai harga saham Malaysia juga merudum, sekali gus memberi kesan pada kekayaan negara.
Walaupun secara relatif sebilangan kecil rakyat memiliki saham dalam pasaran saham, majoriti mereka adalah ahli perniagaan dan kumpulan yang menikmati paras penggunaan yang tinggi kerana memiliki pendapatan boleh guna yang juga tinggi.
“Golongan ini membeli kereta mewah, melancong ke luar negara, membeli barangan mahal, kerap makan di luar dan seterusnya.
“Kekayaan mereka kini terjejas, jadi mereka kurang berbelanja. Inilah juga sebabnya anda lihat angka import jatuh, sama ada untuk tujuan perniagaan atau penggunaan peribadi. Mereka mengurangkan perbelanjaan.”
Beliau juga merakamkan kebimbangan atas kegagalan pasaran saham kita melonjak semula, tidak seperti pasaran saham di negara lain.
Beliau berkata, keadaan ini berpunca daripada kurangnya keyakinan pelabur disebabkan dasar yang tidak konsisten, perancangan ekonomi yang kabur dan kebimbangan berhubung desas-desus tentang percubaan sesetengah pihak untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Ia memberi gambaran ketidakstabilan, yang bagi saya, merupakan sebab utama kenapa saham kita tidak melonjak semula.
Hoo memberi komen berikutan laporan Bloomberg semalam bahawa indeks Bursa Saham Malaysia jatuh dalam keadaan indeks saham lain di seluruh dunia menunjukkan trend menaik.